Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Galakkan pembukaan pusat penjagaan kanak-kanak ikut peraturan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 04 OGOS-Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan terus meneliti keperluan melaksanakan penilaian projek dan landskap bagi penjagaan kanak-kanak berasaskan komuniti yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk penetapan yuran berpatutan bagi keluarga berpendapatan rendah.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohammad semasa menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Yang Berhormat MMN, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee semasa sesi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Negara (MMN), di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi seterusnya mengongsikan, setakat Julai 2025, sebanyak 82 pusat penjagaan kanak-kanak telah berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

    Dari jumlah itu, 69 pusat penjagaan kanak-kanak beroperasi di daerah ini, empat di Daerah Tutong, dan sembilan di Daerah Belait, manakala tiada berdaftar pusat berkenaan di Daerah Temburong.

    Beliau turut menjelaskan, empat pusat telah dikendalikan oleh NGO sementara selebihnya adalah milik individu persendirian.

    JAPEM mengalu-alukan NGO menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak dengan mematuhi proses perlesenan dan garis panduan di bawah Akta Pusat Penjagaan Kanak-Kanak, Bab 218.

    Menyentuh mengenai yuran perkhidmatan, ia ditentukan oleh pihak pengusaha berdasarkan kadar pasaran dan jenis perkhidmatan yang ditawarkan, dan setakat ini purata yuran bulanan adalah sekitar $200 sebulan bagi setiap kanak-kanak.

    Yang Berhormat Menteri turut menekankan, bahawa KKBS menyokong penubuhan lebih banyak pusat penjagaan bagi menggalakkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

    Sehubungan itu, KKBS melalui JAPEM telah merangka draf garis panduan penjagaan kanak-kanak di premis kerja, sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada.

    “Inisiatif ini bertujuan menggalakkan penubuhan pusat penjagaan secara in-house di premis kerajaan dan swasta, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa,” jelas beliau.

    Katanya lagi, “pusat penjagaan di tempat kerja dapat memudahkan akses penjagaan kanak-kanak secara mampu milik, mengurangkan keperluan ibu bapa meninggalkan pejabat dan seterusnya meningkatkan produktiviti kerja”.

    Merujuk kepada kajian pembangunan wanita di negara ini, sebanyak 46 peratus responden wanita menyatakan cabaran utama mereka menyertai tenaga kerja adalah disebabkan isu penjagaan anak.

    Beliau seterusnya menambah, penggunaan pusat penjagaan kini lebih tertumpu kepada keluarga berpendapatan sederhana dan tinggi, di mana ia menunjukkan keperluan untuk memperluaskan akses kepada golongan berpendapatan rendah.

    “Penyediaan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang inklusif, mampu milik dan mudah dicapai adalah penting sebahagian daripada dasar sokongan ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang mesra keluarga,” jelasnya.

    Gambar fail Media Permata
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda