Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 30 April – Dalam usaha membantu para penerima Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) untuk mengubah paradigma, sikap dan pemikiran daripada bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan kerajaan semata-mata, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Cawangan Daerah Belait telah menganjurkan aktiviti Jualan Car Boot Klien JAPEM Belait 2017 bertempat di Pusat Bahagia Eric Goh, di sini.
Aktiviti yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin itu, juga sebagai tanda pemedulian dan keprihatinan JAPEM terhadap klien-kliennya dan sebagai inisiatif jabatan tersebut terutama kepada penerima-penerima BKB.
Selain itu, ia juga turut bertujuan untuk memberikan galakan kepada penerima-penerima BKB untuk sama-sama mendukung dan menyahut saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya lebih berusaha dan berdikari sebagai nilai tambah kepada mereka.
Ia juga adalah usaha ke arah meningkatkan ekonomi dan penambahbaikan taraf kehidupan buat para penerima BKB JAPEM melalui perusahaan dan mengurangkan sikap meminta-minta kepada agensi-agensi kerajaan, bukan kerajaan dan perseorangan serta juga untuk mengisikan masa lapang klien-klien JAPEM dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada hari pertama aktiviti tersebut kelmarin ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput yang juga selaku Ketua Kampung Labi 1 dan Pemangku Penghulu Labi.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin yang juga selaku Penghulu Mukim Liang, penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai, ahli-ahli jawatankuasa kerja JAPEM Cawangan Belait, klien-klien JAPEM yang terdiri daripada penerima-penerima BKB dan Pencen Umur Tua serta orang ramai.
Selain jualan berupa makanan dan barang-barang terpakai dan baru, acara turut diisikan dengan pemberian pakaian terpakai yang disediakan oleh orang-orang persendirian kepada klien-klien JAPEM dan Peraduan Mewarna bagi kanak-kanak.