(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Ibadat haji merupakan fardu ‘ain ke atas setiap orang Islam yang belum menunaikannya dan memenuhi syarat-syarat wajib haji.
Kewajipan haji itu ditunaikan sekali dalam seumur hidup. Orang yang memenuhi syarat-syarat wajib haji iaitu Islam, mukalaf, merdeka dan berkemampuan, sunat ke atasnya untuk tidak menangguhkan ibadat haji.
Apabila dia menangguhkan ibadat haji sedang dia berkemampuan untuk menunaikannya dan dia menunaikannya sebelum meninggal dunia, maka dia tidak berdosa. Ini kerana Rasulullah SAW pernah menangguhkan ibadat haji ke tahun 10 hijrah.
Dalam keharusan menangguhkan ibadat haji bagi orang yang memenuhi syarat-syarat wajib haji, disyaratkan dia berazam untuk menunaikannya di tahun akan datang. Disyaratkan juga bagi orang yang menangguhkan ibadat haji itu dengan sangkaannya yang kuat bahawa dia berada dalam keadaan selamat sehingga waktu dia menunaikannya daripada perkara yang menghalangnya untuk menunaikan haji seperti selamat daripada lumpuh dan luput harta.
Jika dia takut akan terjadi lumpuh ke atas dirinya ataupun dia takut hartanya akan luput, maka haram dia menangguhkan ibadat hajinya itu.
Adapun orang yang memenuhi syarat-syarat wajib haji, jika dia tidak menunaikan haji lalu meninggal dunia, maka dia berdosa kerana dikira satu kecuaian.
Jika seseorang itu memenuhi syarat-syarat wajib haji dalam beberapa tahun tetapi dia tidak juga menunaikan haji sehingga meninggal dunia, maka dia berdosa pada tahun terakhir itu sahaja.
Adapun tahun-tahun sebelum tahun terakhir itu dia tidak berdosa kerana keharusan dia menangguhkan ibadat haji sebagaimana penjelasan sebelum ini.
Salah satu persoalan yang timbul mengenai orang yang telah meninggal dunia sedang dia belum sempat menunaikan haji, adakah boleh ditunaikan haji untuknya ataupun tidak? Untuk menjawab persoalan tersebut dijelaskan seperti berikut:
1. Haji Fardu
Hukum menunaikan haji fardu untuk orang yang telah meninggal dunia adalah seperti berikut:-
1) Cukup syarat wajib haji tetapi tidak menunaikannya
Sesiapa yang meninggal dunia sedang kewajipan haji masih tertanggung ke atasnya (iaitu semasa hidupnya dia mampu untuk menunaikan haji tetapi tidak ditunaikannya), ini termasuklah juga qadha, nazar atau dia diupah untuk menunaikan haji, maka wajib ditunaikan haji untuk diri si mati daripada harta peninggalannya. Perkara ini sama seperti kewajipan membayar hutang.
Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallallahu ‘anhuma bahawa telah datang seorang perempuan bertanyakan kepada Nabi SAW yang maksudnya:
“Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji lalu dia mati sebelum menunaikan haji, adakah aku menunaikan haji untuknya?” Baginda bersabda: “Ya, tunaikanlah haji untuknya. Apa pandanganmu apabila ibumu memiliki hutang, adakah engkau akan membayarkannya?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda Bersabda: “Sempurnakanlah hutang kepada Allah, sesungguhnya hutang kepada Allah lebih berhak ditunaikan.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Orang yang diwajibkan menunaikan haji untuk si mati itu sama ada dia melakukannya dengan diri sendiri ataupun dengan perantaraan orang lain adalah seperti berikut:
A) Orang yang diwasiatkan.
B) Jika tidak ada orang yang diwasiatkan, maka kewajipan menunaikan haji untuk si mati berpindah kepada ahli warisnya.
C) Jika tidak ada ahli waris, maka kewajipan menunaikan haji untuk si mati berpindah pula kepada hakim.
Jika si mati tidak ada harta peninggalan, maka sunat bagi ahli warisnya dan orang asing (walaupun tanpa izin ahli waris) menunaikan haji untuk si mati.
2) Cukup syarat wajib haji tetapi tidak sempat menunaikannya
Jika seseorang itu tidak dapat menunaikan haji selepas dia mampu untuk menunaikannya seperti meninggal dunia atau gila atau hilang hartanya sebelum para jemaah menunaikan haji, maka tidak ditunaikan hajinya itu dari harta peninggalannya.
Walau bagaimanapun sunat bagi ahli waris dan orang asing menunaikan haji untuk diri si mati.
3) Tidak mampu menunaikan haji
Sesiapa yang meninggal dunia sedang dia belum sempat menunaikan haji kerana tidak mampu, menurut pendapat yang muktamad adalah harus bagi ahli waris dan orang asing menunaikan haji untuk diri si mati.
2. Haji Sunat
Menunaikan haji sunat untuk orang yang telah meninggal dunia adalah tidak harus melainkan ada wasiat daripada si mati.
Orang yang menghajikan telah menunaikan haji
Orang yang hendak melakukan ibadat haji untuk si mati sama ada orang yang diwasiatkan, ahli waris, hakim yang melakukan sendiri atau orang yang diupah untuk melakukannya, hendaklah tidak tertanggung ke atasnya haji fardu, qadha atau nazar.
Jika dia berniat ihram untuk si mati sedangkan dirinya sendiri belum menunaikan haji fardu maka jatuhlah niat ihramnya itu untuk dirinya sendiri bukan untuk si mati.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, bahawa Nabi SAW mendengar seorang lelaki berkata yang maksudnya:
“Aku bagi pihak Syubrumah datang menyahut panggilanMu.” Baginda bertanya: “Siapa Syubrumah?” Dia menjawab: “Saudaraku atau kerabatku.” Baginda bertanya: “Adakah engkau telah menunaikan haji untuk dirimu?” Dia menjawab: “Tidak.” Baginda bersabda: “Tunaikan haji untuk dirimu dahulu kemudian barulah tunaikan haji untuk Syubrumah.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Demikianlah penjelasan mengenai hukum menghajikan orang yang telah meninggal dunia.
Semoga penjelasan yang telah dihuraikan ini akan menjadi panduan kepada kita, terutama sekali bagi mereka yang berkewajipan untuk menunaikan haji orang yang telah meninggal dunia melalui harta peninggalannya.
Begitu juga, orang yang hendak menghajikan si mati itu hendaklah dia sudah menunaikan haji fardhu, qadha atau nazar.