ULASAN OLEH RUZAINI HJ DAUD
DIADAPTASI daripada novel karya Nurfaza Alisya, Isteri Untuk Diiktiraf merupakan sebuah novel yang menampilkan Redza Rosli, Elvina Mohamad, Janna Nick dan Dayana Roza sebagai teraju utama.
Drama yang diterbitkan oleh JS Pictures Sdn Bhd di bawah arahan Azman Yahya itu juga turut dibintangi oleh Sheila Rusly, Arash Mohd, Sweet Qismina, Shah Jaszle, Roslan Saleh, Ariff Aziz, Azar Azmi, Tengku Zara dan Sharifah Shahora.
Ia mengisahkan mengenai Safiyya lakonan Elvina Mohammad yang menjadi yatim piatu apabila ibu bapanya terlibat dengan kemalangan jalan raya.
Semenjak itu dia dibesarkan oleh datuknya di kampung. Masa berlalu Safiyya telah menamatkan pengajiannya di universiti dan gigih berusaha untuk mencari pekerjaan.
Dengan bantuan kawannya Yati, Safiyya mendapat beberapa pekerjaan. Tetapi tidak bertahan kerana sering berhenti akibat gangguan di tempat kerja.

Kali terakhir Safiyya bekerja di hotel tapi pada hari pertama bekerja dia telah cuba diperkosa oleh Tengku Wildan lakonan Redza Rosli anak Tengku Hairie lakonan Arash Mohd yang merupakan pemilik hotel itu.
Akibatnya Safiyya telah melarikan diri dan mengambil keputusan untuk tinggal di kampung sahaja.
Tengku Hairie datang ke kampung dan menemui Datuk Safiyya atas urusan jual beli tanah.
Terpesona dengan kejelitaan dan kebolehan Safiyya, Tan Sri Tengku Hairie mengatakan hasratnya untuk meminang Safiyya dan dikahwinkan dangan anaknya Tengku Wildan yang sebenarnya masih menjalinkan hubungan dengan Ana Julia lakonan Janna Nick.
Isterinya Raja Mona lakonan Sheila Rusly dan Tengku Wildan menentang cadangan ini tetapi bapanya tetap dengan keputusannya. Safiyya juga menentang keras apabila diberitahu datuknya mengenai cadangan Tengku Hairie. Datuk Safiyya jatuh sakit dan dalam keadaan serba salah Safiyya menurut kemahuan datuknya untuk berkahwin.
Dia terkejut apabila melihat bakal suaminya adalah lelaki yang pernah cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya dahulu. Kerana tidak mahu menyusahkan datuknya, Safiyya meminta majlis perkahwinannya diadakan secara kecil-kecilan sahaja. Dengan sekali lafaz, Safiyya menjadi isteri Tengku Wildan.
Majlis perkahwinan Safiyya dan Tengku Wildan diadakan secara besar-besaran di kediaman Tengku Hairie. Walau bagaimanapun, perkahwinan berlangsung tanpa rela itu telah mengundang pelbagai masalah dan dugaan.
Justeru, apakah kesudahan kisah perkahwinan di antara Tengku Wildan dan Safiyya yang diselubungi dengan pelbagai konflik ini dan bagi mengetahuinya jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Isteri Untuk Diiktiraf yang ditayangkan pada jam 7 malam pada setiap hari di saluran TV1.