Oleh Sahama
PERSATUAN Ibu bapa dan Guru (PIBG) telah menganjurkan sambutan Hari Guru 2018 di Sekolah Rendah (SR) Lambak Kanan Jalan 49, Kluster 3, baru-baru ini. Sambutan tersebut dimulakan dengan bacaan doa sempena Hari Guru yang dipimpin oleh Awang Mohd Aaron Farihin bin Sharin, pelajar Tahun 6 dan diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengerusi PIBG, Awang Ahmad Saufi bin Haji Yussof.
Dalam acara tersebut, seramai tujuh orang guru telah menerima anugerah guru ‘Tip Top 2018’. Sambutan itu turut dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian Hari Guru secara beramai-ramai yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 1. Hadir dalam majlis tersebut ialah guru besar, Hajah Noorliah binti Haji Aspar, penolong-penolong guru besar, guru-guru dan semua pelajar di sekolah tersebut.
Sambutan tersebut juga diraikan dengan penyampaian cenderamata yang disumbangkan oleh PIBG sekolah kepada semua guru-guru dan acara diteruskan dengan acara memotong kek sempena Hari Guru sebagai tanda terima kasih daripada ibu bapa dan penjaga pelajar atas jasa guru sekolah tersebut yang mendidik dan membimbing anak-anak mereka.

