ULASAN OLEH RUZAINI HJ DAUD
IMPIAN dan cita-cita adalah menjadi antara elemen yang memangkin semangat seseorang individu untuk memacu ke arah kejayaan.
Namun dalam mengecapi sesebuah impian tersebut, setentunya seseorang individu itu turut tidak terlepas dari mengharungi pelbagai cabaran.
Menyedari akan lumrah kehidupan yang kerap dialami oleh ramai individu itu telah mendorong Lee Chang Min yang sebelum ini telah berjaya mengarahkan beberapa siri drama hebat seperti Remember dan Birth of Beauty untuk mengarahkan sebuah drama terbaru, Laughter in Waikiki.
Skrip drama ini ditulis oleh Kim Ki-ho dan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Kim Jung-hyun, Lee Yi-kyung, Son Seung-won, Jung In-sun, Ko Won-hee, Lee Joo-woo dan ramai lagi.
Siri drama komedi ini bermula dengan menampilkan kisah tiga orang pemuda lelaki yang merasakan diri mereka malang kerana gagal untuk mengecapi impian sebagaimana yang mereka harapkan.

Kang Dang-Goo lakonan Kim Jung-hyun pernah menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang pengarah filem namun sikap malas dan kerap memiliki persepsi negatif yang ada dalam dirinya cenderung membuatkan dia gagal untuk mengecapi impian tersebut.
Sementara Cheon Joon-ki lakonan Lee Yi-kyung pula pernah menyimpan hasrat untuk mengikuti jejak langkah bapanya untuk menjadi seorang pelakon yang sangat dikenali.
Bagaimanapun, sehingga kini dia hanya berpeluang untuk melakonkan beberapa watak tambahan dan dianggap kurang penting.
Manakala, Bong Doo-sik lakonan Son Seung-won pula menyimpan impian untuk berhijrah ke Seoul bagi merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang penulis skrip yang baik, namun tetap sukar untuk menjadikannya sebagai satu realiti.
Menyedari nasib kurang menyebelahi kehidupan mereka, ketiga-tiga rakan tersebut telah membuat keputusan untuk membuka sebuah rumah penginapan dikenali sebagai Waikiki di Itaewon, Korea Selatan.
Hakikatnya, ia tidak seindah yang disangka apabila perniagaan yang dijalankan mereka itu turut menghadapi masalah.
Namun secara tiba-tiba mereka telah dikejutkan dengan kehadiran seorang anak damit bersama dengan seorang ibu tunggal di rumah penginapan tersebut.
Lalu, adakah nasib baik bakal berpihak kepada ketiga-tiga orang rakan tersebut dan untuk mengetahuinya jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Laughter in Waikiki sehingga ke penghujungnya.