Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengharungi penderitaan dalam mencapai kebahagiaan

    ULASAN OLEH RUZAINI HJ DAUD

     

    DIADAPTASI daripada novel One Day You’ll Be Mine karya Inawza Yusof, Cinta Hati Batu merupakan sebuah siri drama yang mendapat sentuhan pengarah Amor Rizan dan diterbitkan oleh Primeworks Studios.

    Drama ini menggandingkan Ashraf Muslim dan Aishah Azman sebagai teraju utama. Di samping itu, siri drama ini juga turut dibintangi oleh Fadlan Hazim, Nadzmi Adhwa, Fazreen Rafi, Indah Emeerlda, Nadiyah Shahab, Farisha Irwayu, Shahriza Mahmud, Sasqia Dahuri, Ardell Aryana, Mustaqim Bahadon, Fana Azizan, Ain Edruce, Ikhlas Jalil, Livonia Ricky Guing, Fadzil Hamdan, Azhar Amir, Mili Supina dan Alif Hadi.

    Pada dasarnya ia mengisahkan mengenai Anith Fitriah lakonan Aishah Azman yang hanya mahukan sebuah kisah percintaan yang sempurna, tetapi akhirnya penderitaan yang diperolehinya.

    Perkahwinannya bersama Dzul Ehsan lakonan Ashraf Muslim merupakan desakan dan aturan keluarganya hanyalah untuk melupakan bekas tunangnya, Nik Afezal lakonan Fadlan Hazim yang terkorban dalam satu kemalangan.

    Perkahwinan yang pada dasarnya atas niat yang murni, sebenarnya membebankan Anith kerana Ehsan merupakan seorang duda beranak satu yang dinamakan Aya lakonan Indah Emeerlda.

    Siri drama Cinta Hati Batu dibintangi oleh Ashraf Muslim dan Aishah Azman sebagai teraju utama.

    Walau bagaimanapun, Anith dapat menyesuaikan dan melatih dirinya untuk menjadi seorang ibu yang penyayang.

    Sungguhpun begitu, perkahwinannya bersama Ehsan terpaksa ditamatkan kerana perkahwinan mereka tidak bahagia.

    Ketika berduka itu, Anith bertemu semula dengan bekas tunangnya disangkanya yang telah meninggal, Nik Afezal.

    Anith mendapati bahawa kematian Nik Afezal beberapa tahun dahulu sebenarnya hanyalah satu helah keluarga Nik Afezal untuk memisahkan mereka.

    Setelah tiga tahun bertemu kembali, Anith mula mencintai Nik Afezal semula. Walau bagaimanapun, Nik Afezal sebenarnya sedang menghidap penyakit kemurungan yang menyebabkannya sering bertindak diluar pemikiran yang waras.

    Lalu adakah Anith berjaya menemukan percintaan yang sempurna seperti yang diinginkannya setelah mengharungi pelbagai cabaran dan penderitaan. Persoalan ini akan hanya terjawab sekiranya anda terus menonton siri drama Cinta Hati Batu yang ditayangkan pada setiap hari Rabu dan Khamis jam 9.00 malam di saluran TV3.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda