Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI hari ini, telah meneruskan lagi Jerayawara Kenali ASEAN di Sekolah Menengah Rimba (SMR) II.
Program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, dalam masa yang sama juga dalam mengukuhkan hubungan antara jabatan dengan masyarakat khususnya penuntut-penuntut di Negara Brunei Darussalam.
Jerayawara dimulakan dengan taklimat yang berlangsung di Dewan Serbaguna SMR II dengan dihadiri oleh Pengetua SMR II, Hajah Siti Khadijah binti Haji Damit.
Lebih kurang 212 orang pelajar hadir mendengarkan taklimat yang disampaikan Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Awang Abdul Karim bin Hamdan.
Antara tujuan Taklimat Kenali Negara ASEAN adalah untuk memberigakan serta membuat pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada penuntut-penuntut sekolah menengah di negara ini kerana mereka adalah golongan belia yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya berperanan penting dalam memangkinkan hala tuju negara ini.
Selain itu, ia juga dihasratkan akan dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan penuntut-penuntut sekolah mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana para penuntut mengetahui tentang ASEAN dan peranan organisasi dalam membangun negara-negara anggotanya.
Taklimat berkenaan juga dapat menanamkan kesedaran dan rasa milik dalam kalangan para penuntut sekolah sebagai satu masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN iaitu ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’.
Sesi taklimat disusuli dengan kuiz ASEAN di mana para pelajar yang berjaya menjawab dengan betul turut menerima hadiah. Kuiz-kuiz berkenaan dikendalikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Haji Abdul Hanif bin Haji Abdul Rahim.
