Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Menghayati Sunnah Rasulullah satu tuntutan

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Lebih 1,400 tahun yang lalu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mengutus Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk menyampaikan risalah Islam bagi memandu umat manusia ke arah kejayaan dunia dan akhirat.

    Baginda telah berjaya menyebarkan Islam sehingga Islam mampu berdiri kukuh hingga ke saat ini. Baginda telah berjaya membangun struktur kehidupan yang menyeluruh dan sempurna bagi mencapai kejayaan hidup dunia dan akhirat, dengan menjadikan akhirat sebagai matlamat yang terakhir dan kekal abadi.

    Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberi penghormatan yang tiada tolok bandingnya dengan meletakkan kedudukan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada tempat yang tinggi dan amat istimewa di sisiNya. Begitu juga dalam kalangan umat Islam sendiri. Baginda amat dikasihi, dicintai, disanjung dan kemuliaan Baginda dipertahankan daripada sebarang unsur penghinaan yang boleh merosakkan nama baik dan imej Baginda.

    Kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sering dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti keugamaan yang dianjurkan terutama bila menjelangnya bulan Rabi‘ul Awwal iaitu bulan kelahiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Pelbagai bentuk acara yang diadakan sempena sambutan Maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya majlis berzikir termasuk bershalawat, mendengar syarahan di masjid-masjid, membaca kisah Nabi seperti berzanji yang disudahi dengan bacaan doa serta ceramah agama dan seumpamanya. Semua ini bagi menzahirkan rasa kecintaan kita terhadap Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Namun kecintaan seumpama ini akan lebih bermakna jika umat Islam lebih menghayati Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, dengan mengaplikasikannya dalam kehidupan dan mengajarkannya kepada generasi muda yang merupakan penerus umat masa depan bagi menjamin kejayaan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

    Akhlak Baginda yang sering disebut di dalam al-Qur’an, hadits dan sirah, janganlah hanya sekadar menjadi bahan bacaan, malahan hendaklah diaplikasikan dalam kehidupan seharian agar kita dapat menjalani hidup di dunia selaras dengan apa tujuan kita diciptakan Allah.

    Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai panduan dan bimbingan
    Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam diutus kepada manusia keseluruhannya untuk mengajar mereka akan hukum-hukum yang telah ditetapkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas mereka dan ajaran Baginda inilah dinamakan Sunnah atau perjalanan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu pula merangkumi perkara akidah, akhlak dan syariat (hukum).

    Sunnah Baginda meliputi semua perkara dalam kehidupan terutamanya memerintahkan manusia untuk taat kepada Allah Tuhan semesta alam dan beribadat kepadaNya, menyuruh manusia berakhlak mulia, menyuruh anak-anak untuk berbuat baik kepada ibu bapa, memerintahkan umat Islam untuk menuntut ilmu bagi menambah keimanan, memandu dalam perkara muamalah dan seumpamanya.

    Kewajipan mentaati sunnah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam
    Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam diutus sebagai pemimpin dan pembimbing umat manusia dan alam seluruhnya. Baginda wajib diimani sebagai Nabi dan Rasul terakhir.

    Umat Islam diwajibkan supaya mentaati Rasulullulah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Orang-orang yang mentaati Baginda bererti mereka mentaati Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana firmanNya yang tafsirnya:

    Sesiapa yang ta‘at kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia ta‘at kepada Allah. (Surah an-Nisaa’:80)

    Selain berkewajipan mentaati Baginda, kita juga diwajibkan memuliakan dan menghormati Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya (dalam menetapkan sesuatu hukum), dan bertaqwalah kamu kepada Allah. (Surah al-Hujuraat:1)

    Ayat di atas juga menjelaskan bahawa adalah tidak wajar bagi kita untuk menetapkan sesuatu hukum tanpa terlebih dahulu merujuk al-Qur’an dan as-Sunnah. Kewajipan kita untuk menerima, melaksana atau mengamal suruhan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan meninggalkan larangan Baginda terkandung dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Dan apa jua suruhan yang diberikan oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah (amalkanlah) dan apa jua yang kamu dilarang melakukannya maka tinggalkanlah. (Surah al-Hasyr: 7)

    Secara umumnya ayat ini membawa maksud bahawa kita wajib mengikut dan mentaati semua suruhan dan meninggalkan semua larangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak memerintahkan untuk melakukan sesuatu perkara kecuali ia adalah perkara kebaikan dan tidak akan melarang suatu perkara melainkan ia akan menyebabkan keburukan atau kerosakan kerana semua itu datang daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana firmanNya yang tafsirnya:

    Dan dia tidak memperkatakan sesuatu menurut hawa nafsunya. Segala yang dikatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukannya kepadanya. (Surah an-Najm: 3-4)

    Oleh yang demikian, apa jua perintah dan larangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah berupa panduan dan bimbingan yang wajib diikuti dalam membina kehidupan yang cemerlang di samping sebagai bukti ketaatan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya.

    Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam contoh terbaik akhlak mulia
    Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu merangkumi bimbingan ke arah membina akhlak mulia yang menjadi tuntutan dalam Islam. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memiliki akhlak yang sangat mulia dan ini ada disebutkan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang sangat mulia. (Surah al-Qalam: 4)

    Dalam satu riwayat, Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pernah menjelaskan bahawa akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah al-Qur’an apabila ditanyakan mengenai akhlak Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berakhlak al-Qur’an itu bermaksud Baginda adalah contoh ketaatan kepada suruhan dan larangan al-Qur’an. Apa yang diperintahkan al-Qur’an Baginda melakukannya dan apa yang dilarang al-Qur’an Baginda pasti meninggalkannya.

    Manakala karakter dan keperibadian Baginda juga mengikut sebagaimana al-Qur’an seperti sifat pemalu, pemurah, berani, pemaaf, lembut, tidak suka bermusuhan dan lain-lain sifat mulia.

    Ketaatan Baginda yang tinggi kepada perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta akhlak mulia yang Baginda miliki menjadikan Baginda sebagai contoh modal insan bagi sesiapa yang ingin berjaya di dunia dan akhirat.

    Perkara ini disebut dengan jelas dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Demi sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kebahagiaan) hari akhirat serta banyak berzikir mengingat Allah. (Surah al-Ahzab: 21)

    Maka, selaku umat Islam kita adalah dituntut untuk mengikut Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam segenap perkara dalam kehidupan. Manakala akhlak Baginda yang sering disebut di dalam al-Qur’an, hadits dan sirah, janganlah hanya sekadar menjadi bahan bacaan, malahan hendaklah diaplikasikan dalam kehidupan seharian agar kita dapat menjalani hidup di dunia selaras dengan apa tujuan kita diciptakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Sesungguhnya orang yang berpegang dengan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka dia adalah orang bahagia dan mulia.

    Manakala orang yang tidak mempedulikan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka dia adalah orang yang kecewa dan derhaka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...