KUALA LUMPUR – Siapa sangka bermula dengan hanya berkongsi minat menghias rumah dalam media sosial membuka jalan rezeki buat Tengku Syamimi Tuan Abdul Rahman, 31 tahun.
Bekas jurutera awam ini sendiri tidak menduga, beberapa dekorasi di dalam rumah yang dipaparkan melalui akaun instagramnya telah menarik minat ramai pengikut.
Selain tips dekorasi, ramai yang meminta pertolongannya untuk mendapatkan barangan hiasan dalaman rumah hingga beliau mengambil keputusan menawarkan khidmat orang tengah atau lebih popular sebagai ‘personal shopper’.
Tugas sebagai ‘personal shopper’ bukan sahaja semakin diminati malah kini menjadi sumber pendapatan yang menguntungkan kepada Tengku Syamimi.
Media sosial terutama Facebook dan Instagram menjadi medium popular untuk personal shopper mempromosi perkhidmatan mereka.

Mereka menjadi perantara bagi mendapatkan barang yang diminati terutama yang sukar diperoleh. Daripada pakaian, beg tangan dan tudung, kini perkhidmatan personal shopper semakin meluas kepada barang hiasan rumah seperti yang dilakukan Tengku Syamimi.
Berkongsi pengalamannya sebagai personal shopper, beliau yang mesra dengan panggilan Mimi mula melakukannya sebagai hobi tiga tahun lepas.
Minatnya timbul setelah rumah baharu yang dibeli bersama suami, Adam Ihsan di Sentul, siap untuk didiami. Tanpa menggunakan khidmat perunding hiasan dalaman, dia melakukan sendiri kerja menata rias rumah seperti yang diinginkan.
“Apabila saya kongsikan hasil dekorasi, ramai yang berminat dan bertanyakan mengenai barangan yang ada di rumah dan minta saya belikan.
“Ketika itu saya belum nampak lagi peluang perniagaan dan hanya melakukannya secara suka-suka sahaja,” menurut ibu kepada tiga cahayamata ini.
Tambahan, masanya agak terbatas kerana terikat dengan tugas sebagai jurutera dan hanya bekesempatan melakukan personal shopper pada cuti hujung minggu.
Apabila mengandungkan anak ketiga pada tahun 2015, beliau mengambil keputusan berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada keluarga dan perkhidmatan personal shopper.
“Ketika itu masih lagi buat separuh masa kerana terpaksa membahagikan masa untuk keluarga kerana anak masih lagi kecil. Sampailah pada tahun lepas, saya memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang ini,” katanya.
Seperti bekerja di pejabat, Mimi mengatur jadual kerjanya setiap hari.
Setiap pagi, setelah melihat tempahan pelanggan yang dihantar melalui Whatsapp mahupun Instagram “Kusyashopper”, dia akan ke gedung barangan dan hiasan rumah yang dipilih untuk membeli barangan berkenaan.
Setiap barangan akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak RM10 selain mengenakan caj penghantaran sekiranya barangan itu perlu dipos atau dihantar terus ke rumah.
“Biasanya tiap hari saya akan pergi ke satu gedung sahaja. Sehari sebelumnya, saya akan maklumkan gedung mana yang akan dituju pada esok hari dan akan mengambil ‘order’ untuk barangan di gedung itu sahaja,” katanya.
Selesai membeli barang, dia akan menguruskan penghantaran melalui pos pada sebelah petang. Adakala tugasnya berlarutan sampai ke malam untuk menghantar barang terus kepada pelanggan.
“Memang agak letih bila terpaksa ke sana sini mencari barang, pos barang dan hantar barang tapi ia memberi kepuasan kerana saya nak tengok rumah pelanggan juga cantik dan tersusun,” katanya yang mempunyai pelanggan dari seluruh negara.
Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam hiasan dalaman, Mimi sentiasa mencari idea baharu melalui pembacaan majalah atau melayari laman web berkaitan di dalam dan luar negara.
Baginya, menjadi personal shopper barangan hiasan rumah bukan sekadar membeli barang semata-mata tetapi harus ada ilmu terutama mengetahui trend dekorasi terkini.
Walaupun semakin ramai menawarkan khidmat yang sama, beliau sentiasa melihatnya sebagai satu persaingan positif bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik.
Antaranya beliau berkongsi idea-idea baharu menghias rumah menggunakan barangan yang boleh didapati di gedung-gedung yang menjualnya di Malaysia.

“Bila kita buat kerana minat dan bukan keuntungan semata-mata, banyak yang boleh kita kongsikan bersama-sama dengan pelanggan,” katanya yang mendapat sokongan kuat daripada suami serta ibu bapanya.
Walaupun nampak mudah, tugas personal shopper juga berhadapan banyak cabaran. Menurut Mimi, mengendali ragam dan kehendak pelanggan yang pelbagai memerlukan kemahiran komunikasi dan kesabaran.
Tambahan apabila beroperasi dalam talian, perlu lebih kreatif untuk menjual perkhidmatan yang ditawarkan, katanya.
Telefon pintar menjadi pejabat bergerak beliau yang bukan sahaja memudahkan interaksi dengan pelanggan tetapi lebih penting untuk mengambil gambar barangan dan dekorasi sebelum dimuatnaik dalam media sosial.
Setiap hari akan ada gambar baharu di instagramnya untuk pelanggan membuat pilihan.
Bagi menampakkan nilai eksklusif pada sesuatu produk, kemahiran mengambil gambar sangat penting untuk mendapat sudut yang cantik, katanya.
“Kepuasan mereka adalah keutamaan kerana mereka bayar perkhidmatan tersebut. Alhamdulillah kebanyakan pelanggan Kusyashopper adalah pelanggan setia yang selalu mendapatkan perkhidamatan kami sejak mula ditubuhkan,” katanya.
Melihat bidang ini yang semakin berkembang, Mimi yakin untuk memperluaskan lagi perkhidmatannya dengan mendapatkan produk hiasan dalaman dari luar negara.
Mimi juga sedang membangunkan laman web Kusyashopper bagi membolehkan lebih ramai dapat menggunakan khidmatnya.
“Saya yakin khidmat personal shopper akan terus berkembang. Ini juga adalah peluang rezeki paling mudah terutama kepada suri rumah.
“Tidak memerlukan modal yang besar, paling penting ada telefon yang boleh mengambil gambar yang cantik, data internet, akaun media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan serta berinteraksi dengan pelanggan,” katanya.
Bagaimanapun untuk bertahan lama dalam bidang ini memerlukan kesungguhan, minat dan keikhlasan, katanya. – Bernama