ISTANBUL – Dibina pada dekad pertama abad ke-20 sebagai pintu masuk Eropah ke timur, stesen kereta api Istanbul, Haydarpasa, berdiri dengan megahnya di bahagian Asia di Bosphorus.
Bangunan ini masih dapat disaksikan dan utuh lebih daripada satu abad. Pelbagai era sejarah telah dilaluinya; kejatuhan Empayar Uthmaniyyah, Perang Dunia I, pengusiran rakyat Armenia, rampasan kuasa tentera dan kebakaran pada November 2010 yang telah menghancurkan bahagian bumbungnya.
Namun stesen kereta api bersejarah ini kian hilang kompenan paling asasnya iaitu kereta api.
Sejak tahun 2013, terminal ini tidak menerima sebarang laluan kereta api selepas ianya ditutup bagi kerja-kerja pemulihan dan penaiktarafan utama rangkaian kereta api Turki.
Dengan kerja-kerja pengubahsuaian itu, para pegawai tempatan secara terbuka mengatakan bahawa ia merancang untuk menjual stesen itu, mungkin menjadikannya sebagai sebuah hotel, pusat membeli-belah atau kompleks hiburan.

Keadaan ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan aktivis warisan dan seni bina Turki, yang telah mengadakan demonstrasi mingguan untuk menyelamatkan masa depannya.
Pada tahun 2012, apabila bilangan kereta api yang masuk dan keluar dari stesen itu mulai jatuh, Haydarpasa (disebut Haydarpasha dan dinamakan sempena kawasan kejiranan ia terletak) telah berada dalam senarai seni bina warisan yang diambang ancaman oleh World Monuments Fund NGO.
Bagaimanapun, aktivis seni bina Turki, pegawai tempatan dan Kereta Api Negeri Turki (TCDD) memberitahu AFP bahawa masa depan stesen itu kini lebih meyakinkan selepas tempoh ketidakpastian.
“Ia akan kekal dalam pemilikan awam. Adanya perdebatan namun buat masa ini ianya tidak berada dalam bahaya (untuk menswastakan) stesen kereta api tersebut,” kata Aykurt Nuhoglu kepada AFP, datuk bandar bagi daerah Istanbul, Kadikoy, tempat stesen itu terletak.
“Kereta api ini akan mula menerima kunjungan pada tahun 2019.”
Seorang pegawai dari TCDD menambah, yang namanya tidak mahu disiarkan: “Ia sedang dibaik pulih sebagai sebuah stesen kereta api, tidak ada lagi yang perlu dipertimbangkan.”
Sebaik sahaja stesen ini dibuka semula, ia akan menjadi terminal bagi kereta api berkelajuan tinggi baharu dari Ankara yang kini membuat perhentian di Pendik dan sekali lagi menjadi hab untuk kereta api komuter.
Stesen Haydarpasa, yang direka oleh dua orang arkitek Jerman, telah dirasmikan pada tahun 1909, lima tahun sebelum berlakunya Perang Dunia I.
Ini adalah simbol persahabatan antara Empayar Uthmaniyyah dan imperial Jerman di bawah Kaiser Wilhelm II, yang ingin memperluaskan pengaruh Berlin jauh ke Timur Tengah dan memetrai hubungan yang erat dengan Sultan Abdulhamid II.
Stesen ini menjadi hab utama Kaiser yang menginginkan laluan kereta api dari Berlin ke Baghdad melintasi Constantinople, Aleppo dan Mosul, dengan cawangan laluan selatan ke Damsyik.
Salah satu peristiwa gelap dalam sejarahnya ialah pada 24 April 1915 ketika Haydarpasa digunakan untuk titik permulaan bagi pengusiran konvoi pertama rakyat Armenia yang berada di Istanbul. Turki menafikan dakwaan warga Armenia yang menyatakan pembunuhan beramai-ramai, dan juga telah menyebabkan sejumlah genosid.


Sebelum penutupannya lima tahun yang lalu, Haydarpasa adalah sebuah stesen yang sibuk dengan kereta api komuter. Ada juga perkhidmatannya yang beroperasi semalaman, menuju bandar-bandar di timur Turki seperti Kars dan Van. Dan ada juga laluan perjalanan jauh ke Tehran.
Ia juga merupakan titik permulaan perkhidmatan kereta api Istanbul-Baghdad, Taurus Express, yang memperlihatkan bab permulaan ‘Pembunuhan di Orient Express’ Agatha Christie. Namun kini laluan tersebut telah diberhentikan.
“Haydarpasa bukan sekadar bangunan yang penting, namun ia adalah titik penting bagi landasan kereta api,” kata Ishak Kocabiyik, bekas setiausaha agung Kesatuan Pekerja Pengangkutan Turki.
“Terdapat percubaan untuk menjadikan kawasan ini sebagai pusat perdagangan dan pelabuhan pelayaran. Kami setakat ini berjaya menghalang percubaan itu dengan menggunakan hak kami untuk membangkang,” tambahnya.
Para aktivis menegaskan bahawa mereka melakukannya atas sebab tekanan daripada masyarakat sivil yang bercadang untuk mengubah stesen tersebut kepada sebuah hotel atau kompleks membeli-belah. Ia juga berjaya dihalang.
“Solidariti kami adalah satu misi yang akan berkekalan dalam sejarah,” kata peguam Ersin Albuz, sebuah pasukan utama dalam kempen itu. “Kami akan meneruskannya sehingga semua kereta api membuat perhentian di sini dan apabila itu berlaku, kami akan menamatkan kempen kami.”
Beberapa arkitek menuduh kerajaan di bawah pemerintahan Presiden Recep Tayyip Erdogan, juga bekas Datuk Bandar Istanbul, telah ‘menjejaskan’ tapak warisan tersebut dalam usaha memodenkan bandar raya ini, namun kerajaan menegaskan bahawa ia hanya melaksanakan penaiktarafan yang sangat diperlukan.
Ini termasuklah perubahan utama rangkaian kereta api Turki, yang mana susun atur jadualnya hampir tidak banyak berubah dari zaman Perang Dunia I. Ini bermakna kabanyakan warga Turki menggunakan bas atau pesawat.
Tetapi apa yang dimahukan oleh pihak aktivis agar seluruh kawasan di sekitar Haydarpasa dimajukan semula dan terminal tersebut akan menjadi sibuk semula seperti mana-mana stesen di Eropah.
Ketua Dewan Arkitek Istanbul, Sami Yilmazturk, telah menggambarkan stesen tersebut sebagai ‘pintu gerbang Istanbul di Eropah’. – AFP