Thursday, May 8, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengimarahkan masjid sebagai institusi pendidikan Islam

    Oleh Nurdiyanah R.

    DALAM sejarah Islam, masjid merupakan satu institusi terpenting yang mana kewujudannya bukan sahaja dilihat sebagai lambang kekuatan syiar Islam, namun ia juga lebih menyerlah sebagai lambang perpaduan ummah yang sekali gus menjadikannya sebagai sebuah pusat pembangunan masyarakat Islam bagi meningkatkan pelbagai aspek dalam kehidupan seharian.

    Allah Subhanahu Wata’ala telah berfirman dalam Surah at-Taubah, ayat 18 sebagaimana tafsirnya:

    “Sesungguhnya orang yang suka mengimarahkan masjid hanyalah orang yang beriman kepada Allah Ta’ala dan percaya kepada hari akhirat, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan orang yang tidak takut selain Allah Ta’ala. Mudah-mudahan itulah orang yang akan mendapat petunjuk.”

    Hal ini jelas dapat memperlihatkan bahawa ciri-ciri muslim yang terbaik itu ialah individu yang sentiasa terikat hatinya untuk mendekati masjid dan mengimarahkannya yang mana ia bukan sahaja menjadikan masjid sebagai institusi ibadah malah ia juga perlu diserikan dengan unsur pendidikan dan ilmu pengetahuan yang sekali gus mampu menjadikannya sebagai sebuah pusat pendidikan Islam bagi membina kemajuan ummah baik dari segi akidah, syariah dan juga akhlak.

    Usaha mengimarahkan masjid

    Oleh yang demikian, sebagai matlamat untuk meningkatkan kecintaan masyarakat Islam di negara ini kepada masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang, Daerah Tutong dengan kerjasama Bahagian Perpustakaan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Peraduan Menghafaz Ayat-Ayat Lazim, Mewarna dan Menulis Tulisan Jawi bagi Tahun 1440 Hijrah dan 2018 Masihi bertempat di masjid berkenaan, baru-baru ini.

    Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid RPN Bukit Beruang, Daerah Tutong dengan kerjasama Bahagian Perpustakaan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Peraduan Menghafaz Ayat-Ayat Lazim, Mewarna dan Menulis Tulisan Jawi, baru-baru ini.
    Awang Eddie juga merupakan antara murid yang berasa teruja kerana dapat bersaing bersama dengan rakan-rakan lain melalui aktiviti mewarna.
    Guru-guru pengawas yang bertugas ketika Peraduan Menghafaz Ayat-Ayat Lazim, Mewarna dan Menulis Tulisan Jawi bagi Tahun 1440 Hijrah dan 2018 Masihi di Masjid RPN Bukit Beruang, Daerah Tutong, baru-baru ini.
    Salah seorang peserta yang mengikuti peraduan menulis tulisan jawi, Dayang Anne Nur Fatihah (dua kiri) turut menyatakan bahawa aktiviti tersebut dapat meningkatkan kemahiran dirinya terutama dalam menulis huruf-huruf jawi.
    Dayang Naqeebah kelihatan gembira selepas berjaya menyempurnakan tugasan untuk mewarna lakaran sebuah masjid.
    Seramai 200 orang murid telah menyertai peraduan mewarna dan menulis jawi.
    ATAS & BAWAH: Antara murid kelas Al-Quran dan Muqaddam di Masjid RPN Bukit Beruang, Daerah Tutong yang terpilih untuk menyertai peraduan menghafaz ayat-ayat lazim.

    Salah satu hasil seni mewarna lakaran sebuah masjid daripada salah seorang peserta.
    Awang Alimin menjelaskan antara tujuan penganjuran acara sebegitu adalah untuk membentuk dan mendidik para generasi muda dengan akhlak-akhlak terpuji sekali gus meningkatkan keimanan dan ketakwaan mereka agar sentiasa mentaati suruhan dan meninggalkan larangan Allah S.W.T. dalam meniti kehidupan yang penuh cabaran.

    Aktiviti berkebajikan itu merupakan salah satu aktiviti tahunan bagi murid-murid yang mengikuti kelas Al-Quran dan Muqaddam di masjid berkenaan.

    Seramai 200 orang murid telah mengikuti peraduan mewarna dan menulis jawi, manakala 10 orang murid pula terpilih mengikuti peraduan menghafaz ayat-ayat lazim.

    Membentuk insan berakhlak terpuji

    Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid RPN Bukit Beruang, Awang Alimin bin Ismail menjelaskan bahawa antara tujuan aktiviti penuh kerahmatan itu dianjurkan ialah bagi mencungkil bakat generasi muda dalam menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran dan sekali gus menanamkan rasa kecintaan kepada kitab Allah de-ngan menjadikannya sebagai amalan harian.

    “Dengan adanya penglibatan para murid ini, ia juga bermatlamat untuk membentuk dan mendidik mereka dengan akhlak-akhlak terpuji sekali gus meningkatkan rasa keimanan dan ketakwaan dalam diri mereka agar sentiasa mentaati suruhan dan meninggalkan larangan Allah SWT khususnya dalam meniti kehidupan yang penuh cabaran ini,” tambahnya lagi dengan nada penuh harapan yang tinggi ketika diwawancara oleh wartawan Minda.

    Mewarnai keindahan lakaran masjid

    Kegembiraan jelas terpancar di wajah salah seorang peserta perempuan yang mengikuti peraduan mewarna, Dayang Naqeebah binti Haji Noorhilmi.

    Adik kecil itu menyatakan bahawa aktiviti sebegini merupakan penglibatan dirinya buat kali pertama yang mana ia sememangnya dapat memberi keseronokan kerana berjaya menyelesaikan tugasan untuk mewarna lakaran sebuah masjid yang diberikan kepadanya.

    Manakala Awang Eddie Asyraf Nawfal bin Eddie Suwardi, salah seorang murid yang turut menyertai aktiviti mewarna itu juga melahirkan rasa teruja kerana dapat bersaing secara sihat bersama dengan rakan-rakan yang lain.

    “Meskipun tidak mendapat hadiah utama, namun apa yang pasti saya berasa begitu gembira kerana dapat menyertai aktiviti ini bagi mengisi masa lapang,” ujarnya yang kini berusia 9 tahun diiringi dengan senyuman manis.

    Meningkatkan kemahiran, kefasihan

    Sementara itu, salah seorang peserta yang mengikuti peraduan menulis tulisan Jawi, Dayang Anne Nur Fatihah binti Ali turut menyatakan bahawa aktiviti tersebut telah secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran beliau dalam menulis huruf-huruf jawi.

    Semasa mengakhiri sesi temu bual bersama wartawan Minda, adik kecil yang kini menuntut di Sekolah Rendah Perpindahan Kampung Bukit Beruang itu juga menjelaskan bahawa melalui peluang untuk menyaksikan peraduan menghafaz ayat-ayat lazim yang disampaikan oleh kawan-kawan yang lain juga secara tidak langsung dapat membantu serta meningkatkan lagi mutu pembacaan dan hafalan Al-Quran meliputi aspek hukum-hukum tajwid.

    Oleh yang demikian, kegemilangan tamadun Islam sememangnya berkait rapat dengan unsur pendidikan dan ilmu pengetahuan.

    Namun apa yang membimbangkan ialah umat Islam kini lebih terdedah kepada pelbagai gejala sosial yang kurang sihat sehingga boleh menggugat keutuhan keimanan masyarakat Islam sejagat.

    Oleh itu, ahli-ahli jawatankuasa masjid perlu berusaha untuk terus mengelolakan pelbagai aktiviti yang lebih menjurus ke arah pembangunan kerohanian umat Islam agar mampu bersaing dalam berhadapan dengan gejala globalisasi yang semakin mencabar kini.

    Dengan kata lain, alangkah indahnya jika masjid atau rumah Allah itu sentiasa dijadikan sebagai salah sebuah institusi pendidikan dari segi rohani dan jasmani hingga menjadi mercu tanda keagungan peradaban dan kedaulatan umat Islam dari semasa ke semasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda