Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengimbas kembali nostalgia kegemilangan era 70an

    Oleh Lenna N.B.

     

    IRAMA lagu P.Ramlee dikumandangkan. Kelihatan anak-anak muda berpakaian kampung sambil berjalan lalu memberi salam, ada di antaranya sedang bermain congkak, sementara gadis-gadis kampung sedang melambungkan batu simban, dan ada juga, yang sedang menari mengikut irama lagu P.Ramlee. Tidak kurang juga seorang jejaka yang berada di atas pentas, bersongkok senget sambil menyanyikan lagu-lagu lama. Seakan-akan penulis betul-betul masuk ke zaman mereka kembali mengimbas nostalgia yang sudah berlalu dalam peredaran waktu.

    Bagi menghidupkan semula tradisi dan semangat cinta kepada budaya Melayu, BPM FASS Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menganjurkan ‘Minggu Nostalgia’ yang berlangsung di Pusat Pelajar (Student Centre), UBD, baru-baru ini.

    Antara aktiviti yang diadakan termasuk menyingkap kembali nostalgia suasana bandar tahun 1970an, permainan-permainan tradisi seperti congkak, batu simban, sepak takraw dan sebagainya yang diadapatasikan atau disesuaikan dengan permainan moden, rentak irama retro, putaran masa membawa pengunjung masuk ke lorong waktu dari tahun 2017 hingga ke tahun 1980an, dan seterusnya ke bahagian dunia 1970an, di mana kelihatan orang-orang kampung duduk bersantai dan berhibur.

    Kaum lelaki menggayakan pakaian baju berkolar dan seluar lebar, sementara kaum perempuan pula menggayakan pakaian bercorak warna-warni, berbaju kebaya dan berbaju kurung, sambil kain sarung diletakkannya di atas kepala. Sungguh indah dan berseri, warna-warni tahun 70-an.

    Lebih mencintai dan menghargai Budaya Melayu

    Menurut Awang Mohammad Shahrol Nizam bin Haji Abdul Muluk, selaku pengerusi acara Minggu Nostalgia, Melayu mempunyai budaya yang sungguh menarik dalam peredaran masa. Walaupun zaman itu sudah berlalu, tetapi ternyata banyak generasi kini yang tidak berkesempatan untuk merasai sendiri suasana kehidupan masyarakat Melayu sebelum mencapai era kemodenan.

    Antara kerja-kerja di sebalik tabir ahli-ahli BPM FASS yang menjayakan acara ‘Minggu Nostalgia’ lengkap berpakaian lama seperti tahun 70an.
    Pintu masuk membawa kembali ke zaman nostalgia.
    Awang Mohammad Shahrol Nizam, selaku pengerusi acara Minggu Nostalgia ketika ditemuramah Media Permata, baru-baru ini.

    “Justeru itu, kami sebagai salah sebuah organisasi di unversiti berperanan untuk membawa mahasiswa/mahasiswi khususnya masuk semula ke zaman ini, menghayati dan merasai sendiri keindahan budaya Melayu, yang kini sudah menjadi sebuah nostalgia. Contohnya, dulu masyarakat kita menggayakan kebaya, berbaju kurung, berkain sarung, serta songkok yang dijadikan sebagai pakaian harian, tetapi kini, kita sudah tidak nampak pakaian-pakaian itu setiap hari kecuali dalam acara-acara rasmi atau jemputan kahwin. Budaya ini sudah menjadi sebuah nostalgia, dan kami hidupkan kembali melalui acara ‘Minggu Nostalgia’ ini,” terang Awang Mohammad Shahrol.

    Lebih 60 ahli BPM FASS menjayakan aktiviti Minggu Nostalgia ini, yang mengambil waktu kajian selama satu bulan termasuk pembuatan props-props sebalik tabir. Melalui acara Minggu Nostalgia ini, mereka berharap untuk menghidupkan kembali budaya-budaya terdahulu yang mungkin telah mati atau hampir-hampir pupus, agar dapat disesuaikan mengikut perkembangan era moden pada hari ini, dan tidak hilang ditelan zaman apatah lagi pada ketika generasi-generasi kita sekarang ini yang kian obses kepada perkembangan teknologi.

    “Dulu, permainan tradisi dan sebagainya lebih kepada konsep menjalinkan hubungan silaturrahim di mana para pemain berpeluang untuk beramah mesra antara satu sama yang lain dan saling berkomunikasi. Inilah yang kita mahu hidupkan semula agar jalinan sesama masyarakat itu semakin rapat dan mesra.”

    Kelab Orkestra Gulingtangan Varsiti Universiti Brunei Darussalam turut menyerikan suasana 70an dengan memainkan lagu-lagu asli Brunei.
    Menyanyikan lagu P.Ramlee, antara idola yang disukai pada zaman itu.
    Padang Besar ibu negara dibentuk kembali seperti sekitar tahun 1970an seolah-olah permainan bola sepak sedang berlangsung pada ketika itu.

    Warna-warni Pameran Nostalgia

    Antara yang menarik di dalam pameran itu adalah penampilan ruang tamu yang berkonsepkan zaman 1970an di mana dekorasinya terdiri daripada kraftangan tradisi, berlantaikan rotan dan alas meja yang bercorak. Pameran tersebut diinpirasikan daripada kajian ahli-ahli BPM FASS sendiri yang berkesempatan untuk mengunjungi rumah datuk nenek mereka yang masih diperbuat daripada papan kayu sekali gus melihat gambar-gambar yang merakamkan zaman 70an.

    Di samping itu, kelihatan juga miniatur-miniatur kecil yang menggambarkan kehidupan kampung pada suatu ketika dahulu yang dikelilingi dengan pokok-pokok pisang, rumah-rumah kayu yang dibina hampir dengan kawasan sungai serta di bawah kaki bukit. Sementara itu, rumahnya pula beratapkan daun-daun pisang, dan sebagainya bersumberkan dari alam semulajadi yang jelas memperlihatkan betapa masyarakat tradisi Melayu sangat rapat dengan alam.

    BPM FASS juga telah membentuk Padang Besar tahun 1970an, yang sekarang ini dikenali sebagaiTaman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara yang sering dijadikan sebagai lokasi perlawanan bola sepak sebelum stadium dan padang-padang bola sepak dibina di sekitar Brunei. Pada waktu itu, tempat duduk kayu telah dibina untuk memberikan keselesaan kepada orang ramai yang datang menonton pada setiap kali permainan bola sepak berlangsung.

    Antara pengunjung yang berkesempatan merakamkan gambar kenangan ketika menaiki kereta pada zaman 70an.
    Pameran ruang tamu terdahulu yang dihiasi dengan kraftangan tradisi dan berlantai rotan.

    Turut menarik adalah miniatur rumah-rumah Kampong Ayer tahun 70an, yang diberikan skema warna matahari terbenam seakan memberikan perasaan nostalgia keindahan kehidupan masyarakat penduduk Kampong Ayer yang sebahagian besarnya pendapatan harian mereka adalah bergantung kepada sumber air sungai.

    Indahnya, sepanjang pameran ini, kedengaran lagu-lagu tradisi Brunei dimainkan oleh Kelab Orkestra Gulingtangan Varsiti Universiti Brunei Darussalam menambahkan lagi suasana kemakmuran dan keharmonian kehidupan dahulu kala.

    Pencetusan idea

    Menurut Awang Mohammad Shahrol, idea mereka tercetus sempena acara besar negara Jubli Emas tahun ini, yang seakan-akan mengimbau kembali zaman puluhan tahun lalu apabila Baginda Sultan berarak di hadapan orang ramai ketika pertabalan menjadi Sultan. Seperti pada baru-baru ini, dahulu juga acara-acara besar negara disemarakkan dengan persembahan kereta-kereta berhias, kapal-kapal berhias, bunga api dan sebagainya.

    “Acara Jubli Emas ini juga seakan membawa kita semula ke nostalgia ibubapa kita puluhan tahun lalu, sebelum kita lahir lagi. Dari sana, idea kami tercetus untuk mengadakan acara Minggu Nostalgia yang membawa kita semua kembali mengimbau kenangan dahulu kala, yang kini tinggal rakaman sejarah.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda