Oleh Lenna N.B.
TERLETAK di antara sungai dan darat, Kampung Sungai Matan seakan menggambarkan kehidupan masyarakat dahulu kala yang suka mendirikan perkampungan berhampiran dengan sungai, memudahkan mereka untuk mendapatkan hasil laut, dan pada masa yang sama, bertukar-tukar hasil sungai dengan penduduk darat yang giat bercucuk tanam buah-buahan dan sayur-sayuran.
Itulah bayangan penulis apabila menggambarkan mengenai suasana dahulu kala kampung ini, yang mempunyai sejarah yang panjang sejak kewujudannya.
Terletak di Mukim Kota Batu, kampung ini berada di tengah-tengah antara Kampung Datu Gandi dan Kampung Serdang. Susunan binaan rumah di kawasan itu dibina di sepanjang tepi Sungai Brunei, menghadap ke arah Pulau Berambang. Kawasan yang memiliki keluasan mencapai kira-kira 0.36 kilometer persegi itu dipercayai merupakan salah sebuah kampung yang terawal wujud di negara ini iaitu sekitar sebelum abad ke 14.
Pertemuan semula mantan penduduk
Baru-baru ini, Majlis Pertemuan Semula Mantan Penduduk Kampung Sungai Matan telah dikelolakan, di Dewan Kebudayaan dan Pelancongan Kampung Sungai Matan, yang dihadiri oleh kira-kira 40 orang terdiri daripada Ketua Kampung, ahli-ahli majlis perundingan kampung dan juga mantan penduduk Kampung Sungai Matan.
Majlis pertemuan itu telah diadakan pada malam 7 Safar 1439 Hijrah bersamaan dengan 27 Oktober 2017. Hadir sebagai tetamu kehormat ialah Pengiran Haji Abdul Rahman bin Pengiran Haji Zainal selaku Ketua Kampung Sungai Matan, yang juga telah lama menetap di kampung tersebut dan tetap meneruskan tradisi ayah dan ibu yang memang merupakan penduduk asal di kampung itu.
Terletak lapan kilometer dari ibu negara, Bandar Seri Begawan, Kampung Sungai Matan dapat diakses melalui laluan darat dan air. Keindahan kampung itu dapat disaksikan apabila melangkah di atas jambatan, sambil menghirup udara segar, menghayati kehijauan panorama alam semula jadi di sekitarnya dan ketenangan Sungai Brunei yang menjadi nadi perhubungan dan tempat para nelayan menangkap hasil laut.
Itulah antara kenangan yang dirindui dan telah diungkapkan di malam Majlis Pertemuan Semula itu. Majlis diselajurkan dengan acara membaca tahlil dan doa arwah, diikuti dengan aktiviti pameran serta tayangan slaid yang secara tidak langsung mengimbau kembali nostalgia melalui gambar-gambar lama berwarna hitam putih. Setiap gambar kenangan itu umpama mengusik jiwa para hadirin, terutamanya apabila mereka menyaksikan suasana Kampung Sungai Matan sekitar tahun 1960an hingga 1970an.
Kampung Sungai Matan pada waktu itu sangat aktif dalam mengusahakan pelbagai perusahaan seperti pemprosesan ikan tahai, pembuatan kuih-kuih tradisi makanan cincin dan sebagainya. Malah, Kampung Sungai Matan juga menjadi antara perhentian bagi para pengalu dan padian yang kini tidak lagi dapat dilihat bayang-bayang mereka. Salah satu produk tradisi yang masih kekal diusahakan oleh kampung tersebut hingga ke hari ini, adalah pembuatan belacan, yang agak tinggi permintaannya di kalangan masyarakat tempatan.
Jalinan terikat sebalik pertemuan
Selaku Pengerusi Majlis, Awang Kassim bin Ismail telah menjelaskan bahawa tujuan utama Majlis Pertemuan Semula Mantan Penduduk Kampung Sungai Matan ini diadakan adalah untuk mengumpulkan semula mantan-mantan penduduk kampung itu, memandangkan ramai yang telah berpindah setelah berumah tangga dan mengikut haluan masing-masing.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil kepada penyumbang-penyumbang gambar yang masih menyimpan antara kenangan yang telah dirakamkan suatu waktu dahulu.
Turut hadir ialah Haji Mahir bin Mohd. Yusof, yang kini merupakan Ketua Kampung Perpindahan Lambak Kanan dan juga merupakan mantan penduduk Kampung Sungai Matan.
Melalui pertemuan semula itu, terjalinlah kemesraan dan keeratan membentuk silaturrahim antara sesama penduduk. Perpisahan kira-kira selepas 30 tahun, setentunya menggambarkan kerinduan sesama mereka, apatah lagi ketika waktu zaman kanak-kanak dan masih muda, menjadi rakan bermain dan saling berjenaka antara satu sama lain.
Teladan kepada generasi muda
Sebalik majlis pertemuan itu, adalah dihasratkan agar ia dapat mendidik para belia dalam menghargai erti jalinan silaturrahim melalui institusi persahabatan, kekeluargaan dan persaudaraan. Ia merupakan identiti keBruneian yang tulen dalam mengamalkan hidup rukun damai dan bermasyarakat. Justeru itu, ia menjadi legasi yang diwarisi oleh generasi-generasi muda agar jalinan itu sentiasa mekar dan tidak layu ditelan perubahan zaman dan peredaran masa.
Di samping itu, pertemuan semula ini juga diharapkan untuk dapat membakar semangat para mantan penduduk Kampung Sungai Matan agar sama-sama membantu dan menabur bakti dalam memeriahkan dan membangunkan perkembangan kampung, iaitu dengan menggabungkan sumber tenaga dan fikiran para mantan penduduk, dan Majlis Perundingan Kampung Sungai Matan. Umpamanya mengimbas kembali amalan kehidupan bermasyarakat puluhan tahun lalu, yang mengamalkan sikap saling tolong-menolong di antara satu sama lain.
Kampung dulu dan sekarang
“Saya ingat sewaktu kanak-kanak dulu, kami sangat nakal. Suka mengacau, dan bermain merayau-rayau di kawasan persekitaran kampung. Permainan kami termasuklah berjumpung, bermain kikik, mandi-manda terjun dalam sungai, bermain pelbagai permainan tradisi sama ada di darat dan di sungai. Antaranya adalah permainan guli, rising, duit daun bakau, roket lingayung, ajung, lastik, kayu tiga, biji getah, bola belidar dan lain-lain. Memang seronok jika diimbas kembali zaman kanak-kanak dulu,” ujar antara mantan penduduk ketika mengimbas zaman kanak-kanak mereka di kampung itu.
Mengimbas kembali suasana kampung dahulu, terdapat empat buah rumah penyalaian memproses tahai, sebuah balai ibadat, persatuan nelayan, kugiran, kelab bola sepak serta sebuah perhentian untuk para pengalu dan padian berjaja.
Walaupun puluhan tahun berlalu, dari segi seni binaan rumah masih kelihatan hampir serupa, cuma jambatan dan Dewan Kebudayaan dan Pelancongan Kampung Sungai Matan agak baru pembangunannya.
Kampung Sungai Matan kini terkenal dengan perkhidmatan eko pelancongan Matan Fishing Village yang mempunyai rumah persinggahan khas untuk pelancong, aktiviti-aktiviti kampung seperti mengancau, memukat udang, membintur ketam, merambat hasil sungai, memproses udang kering dan ikan, menikmati ambuyat, berhibur dengan tarian tradisi Brunei, menghayati keindahan kehijauan semula jadi dan sebagainya.
Pada tahun 2012, Kampung Sungai Matan telah menerima Anugerah Gangsa Kampung Cemerlang kerana berjaya menjana pendapatan daripada perkhidmatan eko pelancongan selaku 1 Kampung 1 Produk (1K1P).
Selain itu, Majlis Perundingan Kampung Matan juga aktif dalam menjalankan projek-projek lain seperti Karnival Matan dan cabaran pancing yang diadakan setiap tahun, melibatkan orang ramai berkunjung ke kampung tersebut.
Kecemerlangan kampung ini ternyata tidak pupus ditelan zaman. Hingga hari ini, Kampung Sungai Matan masih aktif mengetengahkan pelbagai produk kampung, khazanah budaya dan sebagainya. Kadang kala, timbul kerinduan di antara sesama penduduk. Walaupun sudah berpindah, zaman kenangan kanak-kanak mereka masih kuat di ingatan melalui kehidupan pahit manis antara sungai dan darat.