Saturday, December 7, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengimbau kegemilangan permainan video era 90an

    PENAMPILAN sistem visual grafik pada kualiti 8 ke 16 bit atau pengimejan 2D memang pernah menjadi satu trend pada suatu ketika dahulu.

    Walaupun kualiti video yang ditampilkan itu tidaklah secanggih atau sehebat masa kini namun apa yang pasti golongan individu yang pernah menelusuri dunia permainan video pada era 90an tetap terhibur dengan visual yang ditampilkan itu.

    Kehadiran Owlboy, sebuah permainan video berkonsep kembara yang menampilkan visual kualiti grafik klasik keluaran D-Pad Studio ini setentunya akan kembali membawa pemain mengimbau nostalgia kegemilangan permainan video pada suatu ketika dahulu.

    Berjuang demi menuntut keadilan

    Permainan video ini bermula dengan menampilkan seorang budak lelaki yang tersedar secara tiba-tiba di sebuah kawasan yang agak terpencil di atas awan.

    Wajah budak lelaki tersebut kelihatan sangat berbeza dengan makhluk lain berikutan daripada faktor keturunannya yang merupakan berasal daripada keturunan bangsa campuran manusia dan juga burung hantu dikenali sebagai Owls.

    Owlboy menampilkan karakter bernama Otus yang merupakan spesies hibrid gabungan manusia dan burung hantu dikenali sebagai Owls.
    Kembara dilalui oleh Owlboy dimulakan di kawasan atas awan.

    Hakikatnya, budak lelaki bernama Otus itu berasa sangat terkejut tatkala mengetahui bahawa kampung halamannya telah diserang oleh sekumpulan lanun yang mengganas.

    Bangkit daripada lelapnya yang penuh misteri itu, Otus bertekad untuk mengembara dan berjuang bagi menegakkan keadilan.

    Dalam kembara yang dilaluinya itu, Otus turut berpeluang bertemu dengan pelbagai makhluk lain termasuk seorang tentera, Geddy.

    Pertemuan demi pertemuan itu secara tidak langsung turut menjalinkan hubungan kerjasama baik dan sama-sama membantu dalam menjayakan misi yang cukup mencabar itu.

    Bekerjasama dalam mengecapi kejayaan

    Pemain akan mengawal watak utama dalam permainan video ini iaitu Otus di mana akan melalui kembara yang cukup mencabar.

    Dalam kembara tersebut, pemain dapat melakukan serangan sama ada di kawasan darat dan juga di udara berikutan daripada faktor latar karakter yang merupakan gabungan spesis manusia dan burung hantu.

    ATAS & BAWAH: Pemain harus sentiasa mengawasi sebarang ancaman yang boleh mendatangkan risiko pada tahap kesihatan dan stamina karakter.

    Di samping itu, pemain juga boleh melakukan teknik serangan secara licik melalui kuasa teleportasi yang boleh memindahkan karakter dari sesuatu kawasan kepada kawasan yang lain.

    Bagi memudahkan lagi serangan, pemain juga boleh menyeru beberapa karakter lain yang ditemui sepanjang kembara kerana bantuan yang diberikan itu secara tidak langsung turut memperlihatkan jalinan hubungan baik di antara Otus dengan karakter-karakter lainnya.

    Setiap karakter tersebut memiliki kuasa istimewa yang tersendiri di mana ia juga setentunya memberikan kesan serangan berbeza kepada pihak musuh.

    Dalam kembara yang dilalui itu, pemain juga akan menemui pelbagai barangan seperti wang yang boleh digunakan untuk membeli kelengkapan bagi meningkatkan kuasa pada sesebuah senjata dan juga makanan yang berfungsi untuk memenuhi tahap stamina serta kesihatan karakter.

    Justeru, sekiranya pemain teruja untuk mengalami sendiri keseronokan kembara dalam permainan video ini maka jangan terlepas untuk mengikutinya sendiri dalam Owlboy yang dikeluarkan untuk platform Microsoft Windows, Nintendo Switch, PlayStation 4 dan Xbox One.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda