Saturday, April 26, 2025
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengimbau kembali detik nostalgia, kenangan lama

    Oleh Nurdiyanah R.

    Sekali sekala menoleh ke belakang mengimbau kembali kenangan silam, barulah kita sedar betapa indah sebenarnya zaman terdahulu yang diperkaya dengan dendangan lagu-lagu klasik yang pastinya memiliki keindahan bait-bait bahasa kiasan apabila dihayati bersama. Sungguh menggamit memori penuh nostalgik.

    Itulah detik-detik terindah yang dapat digambarkan apabila berlangsungnya Pertandingan Karaoke Lagu-lagu Klasik 2019 anjuran Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong bertempat di Dewan Serba Guna Pusat Kegiatan Warga Emas Tutong, baru-baru ini.

    “Demi memartabatkan keindahan budaya Melayu, yang kini sudah menjadi sebuah nostalgia dalam meniti peredaran waktu yang begitu pantas, inilah masanya kita sama-sama mengimbau kembali lagu-lagu klasik yang pernah menjadi igauan masyarakat suatu ketika dahulu,” ucap pengerusi pertandingan yang julung kalinya diadakan di PKWE berkenaan, Haji Bidin bin Haji Mohamad Noor semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

    Mengeratkan ikatan persaudaraan

    Menurut Haji Bidin, seramai empat peserta lelaki dan tujuh peserta wanita serta empat gandingan lagu duet telah diperdengarkan semasa pertandingan penuh keceriaan itu yang mana ia bukan sahaja bermatlamat bagi mengasah bakat insan bergelar warga emas tanah air, bahkan ia juga bertujuan untuk mengeratkan lagi jalinan persaudaraan sesama ahli dan warga emas di Daerah Tutong, di samping sebagai satu hiburan kepada para peserta dan ahli PKWE.

    Begitu indah dipandang dengan adanya seorang jejaka yang berada di atas pentas, bersongkok senget dengan berkaca mata hitam sambil menyanyikan lagu-lagu lama. Tidak kurang juga wanita-wanita yang menggayakan kebaya, berbaju kurung dengan bertudung serta berselendang. Seakan-akan penulis betul-betul masuk ke zaman mereka kembali mengimbas nostalgia yang sudah berlalu dalam peredaran waktu.

    Antara peserta warga emas yang tidak ketinggalan mengikuti pertandingan yang mampu mengimbau nostalgia klasik. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    Hajah Zaimah selaku salah seorang peserta yang mendendangkan lagu berjudul Peminangan bersama suami tersayang turut berkongsi kegembiraan di atas detik yang begitu berharga ini bersama ahli-ahli PKWE yang lain dalam sama-sama mengisi masa persaraan dengan sebaik-baiknya.
    Dendangan lagu irama tradisional Malaysia dari legenda Abdullah Chik bersama Noraniza Idris yang dinyanyikan oleh pasangan duet, Haji Ahmadbi dan Hajah Noorhaya berjaya merangkul tempat pertama dalam kategori berkenaan.
    Antara yang hadir memeriahkan suasana acara Pertandingan Karaoke Lagu-lagu Klasik 2019 anjuran Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong bertempat di Dewan Serba Guna Pusat Kegiatan Warga Emas Tutong, baru-baru ini. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    Persembahan mukun dari sebahagian ahli PKWE Daerah Tutong turut menyerikan suasana acara yang julung kalinya diadakan di pusat berkenaan. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    Tanda kenangan mengusik hati

    Dengan dendangan lagu irama tradisional Malaysia dari legenda Abdullah Chik bersama Noraniza Idris berjudul Tanda Kenangan begitu mengusik jiwa dan hati tentang sebuah kasih sayang dalam sebuah percintaan apabila dinyanyikan oleh pasangan duet, Haji Ahmadbi bin Haji Othman dan Hajah Noorhaya binti Mohd Daud yang sekali gus merangkul tempat pertama dalam kategori berkenaan.

    Semasa ditemui, Haji Ahmadbi yang kini berusia 62 tahun menjelaskan dengan adanya acara sebegini, ia sememangnya suatu kegiatan yang begitu positif khususnya dalam kehidupan golongan di usia emas ini untuk menyemai dan sekali gus menggalakkan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat, lebih-lebih lagi dalam mengisi masa lapang.

    “Oleh itu, dengan adanya PKWE ini, ia sememangnya mampu menjadi medan perkongsian pelbagai pengalaman dan ilmu pengetahuan dari segi kemahiran atau kepakaran masing-masing dalam kalangan para ahli warga emas di negara ini yang mana bukan sahaja dalam hal ehwal duniawi bahkan juga ukhrawi,” tambahnya lagi yang menetap di Kampung Penanjong, Daerah Tutong dengan penuh harapan.

    Bersama menikmati detik yang berharga

    Manakala Hajah Zaimah binti Haji Mohd Noor selaku salah seorang peserta yang mendendangkan lagu berjudul Peminangan bersama suami tersayang turut berkongsi kegembiraan atas detik yang begitu berharga ini bersama ahli-ahli PKWE yang lain dalam sama-sama mengisi masa persaraan dengan sebaik-baiknya,

    “Kegiatan sebegini sememangnya merupakan salah satu platform yang sangat sesuai untuk disertai oleh golongan yang sudah bersara agar ia secara tidak langsung dapat merangsang suasana keceriaan dan menjauhi diri dari merasa kesunyian dan tertekan,” ucapnya semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda