Oleh Syahmi Hassan
Meskipun negara masih di bawah ancaman gelombang ketiga penularan COVID, namun Hari Raya Aidilfitri tetap disambut dengan meriah apabila sekatan-sekatan semakin dilonggarkan.
Malah aktiviti-aktiviti yang kebiasaannya dilakukan sebelum berlakunya pandemik juga sudah mula diadakan kembali dan di samping itu juga, pelbagai pencapaian dan peristiwa dapat dilihat pada pertengahan tahun 2022.
Sorotan peristiwa bulan Mei
Pada awal bulan Mei 2022, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, berkenan berangkat ke Majlis Mengadap dan Junjung Hari Raya Aidilfitri bagi Orang-orang Kenamaan serta Diplomat dan VVIP di Istana Nurul Iman.
Di majlis berkenaan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain berkenan menerima junjung ziarah daripada menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta duta-duta besar dan ketua perwakilan asing di negara ini.
Terlibat kemalangan dalam perjalanan ke hospital
Pada 15 Mei 2022, negara telah digemparkan dengan berita kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan di kawasan lampu isyarat lalu lintas Telanai, yang telah meragut nyawa seorang penumpang yang dipercayai salah satu puncanya adalah akibat rempuhan pelanggaran tersebut.





Mangsa merupakan seorang lelaki berumur 50 tahun dan sempat dikejarkan ke Hospital RIPAS setelah kemalangan berlaku serta diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor petugas.
Siasatan awal daripada keanggotaan Balai Polis Bandar Seri Begawan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mendapati pemandu dalam perjalanan ke Hospital RIPAS bagi membawa penumpang (mangsa yang maut) yang sedang dalam keadaan kecemasan iaitu mengalami serangan asma dan sesak nafas yang teruk.
Mohammad Adi Salihin harumkan nama negara
Pada hari yang sama, atlet wusyu Negara Brunei Darussalam, Mohammad Adi Salihin bin Roslan berjaya meraih pingat emas yang berharga bagi negara pada temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-31.
Mohammad Adi Salihin meraih pingat tersebut dalam acara Wusyu Nanquan Lelaki, setelah berjaya me-ngalahkan atlet Indonesia yang terpaksa berpuas hati dengan kutipan pingat perak dan pingat gangsa dimiliki oleh atlet tuan rumah, Vietnam.
Kementerian Tenaga dibubarkan
Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Kementerian Tenaga ditiadakan dan digantikan dengan Jabatan Tenaga. Titah perintah itu memperkenankan Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri diwujudkan bagi melaksanakan portfolio-potfolio di bawah Kementerian Tenaga.
Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-61
Bagi penutup bulan Mei 2022, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Raksasa Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-61 di Pangkalan Muara, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).
Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Tema Sambutan HUT ABDB tahun ini iaitu ‘Bersama Menjayakan Wawasan Negara’ merupakan penghayatan ABDB sebagai sebuah organisasi yang maju dan bersatu padu setia kepada raja dan negara; mengamalkan nilai-nilai mulia bagi bersama-sama menjayakan ke arah pencapaian wawasan negara.
Sorotan peristiwa bulan Jun
Permulaan bulan Jun 2022 dimulakan dengan majlis perasmian Persidangan Wakaf Antarabangsa sempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Persidangan Wakaf Antarabangsa berkenaan berlangsung selama empat hari yang dikelolakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan tema ‘Merealisasikan Perlaksanaan dan Pengurusan Wakaf Secara Komprehensif’.
Kabinet dirombak
Pada 7 Jun 2022, Baginda Sultan berkenan bertitah mengumumkan rombakan dan pelantikan beberapa menteri-menteri kabinet dan timbalan-timbalan menteri yang baharu bagi tempoh selama empat tahun.
“Sudah tiba masanya untuk menukar dan melantik beberapa orang menteri kabinet dan timbalan menteri yang baharu termasuk mengekalkan beberapa orang menteri kabinet dan timbalan menteri kabinet,” titah Baginda.
Baginda menekankan ini adalah untuk mengukuhkan lagi jentera pentadbiran kerajaan dalam meningkatkan keberkesanan fungsi kementerian yang berkenaan.
Penerbangan pertama jemaah haji bertolak
Pada 15 Jun, penerbangan pertama yang membawa 248 bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam telah berlepas meninggalkan negara pada pukul 11:22 pagi dengan menggunakan pesawat Penerbangan Diraja Brunei BI4201 dan dijangka tiba di Madinah pada pukul 3:30 petang waktu tempatan.
Mengiringi bakal jemaah haji bagi penerbangan pertama berkenaan ialah tujuh orang pegawai perubatan dari Pejabat Urusan Jemaah Haji yang terdiri daripada tiga orang lelaki dan empat orang perempuan serta pegawai-pegawai dari tiga buah syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji berkenaan.
Berangkat ke Republik Rwanda
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, berangkat tiba di Kigali, Republik Rwanda pada 23 Jun lalu bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) ke-26 yang akan berlangsung pada 24 dan 25 Jun.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

