Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Menglait Stingers dinobatkan sebagai juara Kejohanan Badminton Liga Berpasukan Kebangsaan setelah mencatat 21 mata dari tujuh perlawanan di Dewan Serba guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah. Menglait Mavericks meraih tempat kedua setelah mengumpul 18 mata, diikuti Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) dengan 15 mata.
Semasa pusingan akhir perlawanan, juara yang baru dinobatkan meraih kemenangan 5-0 menentang T2A, sementara MS ABDB menewaskan Onjatu 4-1 dalam perlawanan penentuan untuk tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
Manakala Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat telah menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat kedua, sementara Presiden Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNBA), Pengiran Haji Hamzah bin Pengiran Haji Mohammad menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat ketiga. Selain pingat dan hadiah wang tunai, tiga pemenang teratas juga menerima hadiah raket badminton.
Semua pasukan yang mengambil bahagian juga menerima plak penyertaan dan air minuman Purion yang disumbangkan oleh Syarikat Leesin Sdn Bhd, yang disampaikan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan, Jackie Tan Yu Chui.
Kejohanan liga badminton tersebut dianjurkan oleh BDNBA dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan.
Kejohanan dipertandingkan dalam format round robin dengan setiap pemenang diberikan tiga mata.
