TATKALA usia meningkat remaja, rasa ingin meneroka atau menyahut cabaran di dalam kehidupan itu semakin tinggi.
Namun ada kalanya tindakan yang dilakukan itu berada di luar batasan sehingga meninggalkan kesan buruk bahkan ada juga yang turut membahayakan diri.
Justeru, kisah tersebut yang diterapkan dalam sebuah permainan video terbaharu berjudul Secret of Mana terbitan Square Enix yang memperlihatkan bagaimana sesuatu tindakan itu telah memberikan satu kesan sehingga seseorang itu harus terpaksa melalui pengembaraan yang mencabar demi mengembalikan semula keamanan.
Bangkit memperbetulkan keadaan
Kisah bermula apabila tiga orang remaja lelaki terkenal dengan sifat nakal telah melanggar undang-undang dan menceroboh masuk ke kawasan air terjun yang dipercayai sebagai lokasi penempatan khazanah berharga.
Tanpa diduga, salah seorang daripada remaja tersebut telah terjatuh ke kawasan tasik dan menemui sebilah pedang lama yang tertanam pada bongkahan batu besar.
Didorong oleh rasa ingin tahu yang mendalam telah membuatkan remaja lelaki itu berusaha untuk mencabut pedang yang tertanam pada batu tersebut.
Tatkala dia berjaya mencabut pedang tersebut ia juga secara tidak langsung turut melepaskan kuasa jahat yang berterbangan ke serata kawasan.
Kejadian itu telah disedari oleh seorang pahlawan bernama Jema yang memang mengetahui bahawa pedang yang berjaya ditemui oleh remaja itu adalah sebilah pedang yang memiliki kuasa sangat istimewa dikenali sebagai Pedang Mana.
Perbuatan remaja lelaki yang berjaya menarik keluar pedang sakti itu secara tidak langsung turut memberikan dirinya kekuatan untuk kembali mengumpulkan semula kuasa dan tenaga ghaib yang telah bertebaran ke serata tempat.
Di sudut lain, seorang gadis yang memiliki kemahiran untuk menyembuhkan dan mengembalikan tenaga pula berasa sedih kerana mendapati lelaki yang dicintainya, Dyluck telah ditangkap oleh seorang ahli sihir jahat bernama Thanatos.
Dari situ, gadis tersebut telah membuat keputusan untuk mengembara bagi menyelamatkan kekasihnya daripada cengkaman penjahat.
Sewaktu, gadis tersebut telah bertemu dengan remaja lelaki yang memiliki pedang sakti itu, mereka membuat keputusan untuk bergabung tenaga bagi mengembalikan keamanan.
Bukan itu sahaja mereka juga turut bertemu dengan satu makhluk ghaib bernama Popoi yang memiliki kuasa magis yang luar biasa dan turut terbuka hati untuk menghulurkan bantuan.
Kerjasama asas kejayaan
Permainan video ini menerapkan sistem Ring Command yang memberikan pilihan kepada pemain untuk mengawal ketiga-tiga karakter yang ditampilkan.
Setiap karakter itu memiliki kemahiran istimewa yang tersendiri seperti remaja lelaki itu berupaya untuk menggunakan pedang sakti yang setentunya memberikan kesan serangan hebat terhadap pihak lawan.
Manakala gadis yang mengembara dalam misi untuk menyelamatkan kekasihnya itu pula bertindak selaku Healer yang berupaya untuk merawat ahli kumpulannya yang tercedera akibat daripada serangan pihak musuh.
Sementara, makhluk ajaib bernama Popoi itu pula berupaya untuk melancarkan kuasa magis yang secara tidak langsung dapat memberikan bantuan kerjasama demi mencapai kejayaan.
Dalam kembara mencabar yang dilalui ini, pemain akan bertemu dengan pelbagai jenis pihak musuh dan setentunya pemain turut berpeluang untuk mengumpulkan mata sekaligus meningkatkan lagi kemahiran serta kuasa serangan karakter.
Terdapat beberapa senjata tertentu yang digunakan oleh pemain di sepanjang kembara penuh cabaran ini seperti pedang, tombak, busur, cambuk dan lain-lain.
Pemain harus mengumpulkan Weapon Orbs yang boleh diperolehi setelah menewaskan pihak musuh yang berstatus tinggi untuk meningkatkan kekuatan pada senjata yang digunakan.
Di samping itu, pemain turut berpeluang melancarkan pelbagai kuasa magis daripada elemen tertentu seperti air, api, elektrik dan angin.
Seperkara yang harus diketahui adalah tenaga setiap karakter itu secara perlahan-lahan berkurangan apabila pemain menggunakan senjata atau melancarkan kuasa magis dan kebijaksanaan pemain dalam mengatur strategi penggunaannya wajar dititikberatkan demi mencapi misi yang ingin direali-sasikan.
Kembara juga akan menjadi lebih seronok tatkala pemain berpeluang untuk mengembara bersama seekor naga bernama Flammie tatkala berada di peringkat yang tertentu.
Justeru, sekiranya pemain teruja untuk mengalami kisah pengembaraan penuh mencabar ini jangan terlepas untuk mendapatkan Secret of Mana yang dikeluarkan untuk platform PlayStation 4, PlayStation Vita dan Microsot Windows.