NAM DINH – Vu Hoai Nam tidak pernah menyangka dirinya akan menjadi pengumpul setem sehinggalah seorang rakannya menghadiahkan satu set setem kepadanya. Baginya, hobi itu bukan sahaja menyimpan kenangan, malah memperdalam ilmu pengetahuan serta menyuburkan minatnya terhadap sejarah.
Berasal dari wilayah utara Nam Dinh, dia dipercayai memiliki koleksi setem terbesar di kawasan itu, iaitu sekitar 15,000 keping. Setem pertamanya adalah keluaran bertajuk Viet Nam Dan Chu Cong Hoa (Republik Demokratik Vietnam).
Nam menganggap hadiah itu tidak ternilai. Dia begitu teruja memegang setem-setem itu dan meluangkan banyak masa mengkaji motif, reka bentuk dan simbolisme sejarahnya.
“Tersentuh dengan keunikan setem itu, saya sedar betapa sedikitnya pengetahuan saya tentang rakyat dan sejarah kita,” kata Nam. “Setiap setem adalah kapsul kecil yang membisikkan kisah silam dan mengajak kita menyelami sejarah.”
Koleksi Nam merangkumi setem sejak tahun 1945. Ketika Republik Demokratik Vietnam ditubuhkan pada September tahun tersebut, kerajaan belum mempunyai setem sendiri lalu menggunakan setem Indochina Perancis yang ditindih dengan 13 jenis cop khas – menghasilkan 57 reka bentuk unik oleh pelukis Bui Trang Chuoc.

Pada tahun 1946, Vietnam mengeluarkan siri setem rasmi pertamanya, memaparkan imej Presiden Ho Chi Minh bagi memperingati ulang tahun pertama Hari Kebangsaan. Siri lima keping yang direka oleh pelukis Nguyen Sang ini kini dianggap antara yang paling bernilai dalam filateli Vietnam, malah digelar ‘khazanah negara’ oleh sejarawan Duong Trung Quoc.
Nam menyifatkan pengumpulan setem sebagai satu usaha yang memerlukan kesabaran, ketelitian dan penghormatan terhadap objek kecil yang penuh makna itu.
Antara koleksi paling berharga miliknya termasuk siri Mac Thi Buoi (wira wanita), siri Binh Si (tentera) dan keluaran Thuong Binh (veteran cedera). Siri Mac Thi Buoi tiga keping dibelinya dengan harga VND12 juta, menjadikannya antara setem Vietnam paling mahal.
Siri itu menjadi amat jarang kerana kebanyakannya digunakan untuk pengeposan dalam urus niaga rentas sempadan serta dipercayai banyak musnah dalam kebakaran stor penyimpanan selepas dikeluarkan – menjadikan baki yang terselamat amat berharga.
Setelah hampir tiga dekad mengumpul, Nam berjaya melengkapkan semua 1,001 siri yang diterbitkan antara 1945 hingga 2010, merangkumi 3,522 keping setem. Pada awalnya, kekangan kewangan menghadkan pembeliannya, tetapi dia tetap gigih membeli sedikit demi sedikit.
Sejak 10 tahun kebelakangan ini, media sosial telah memudahkan pengumpul seperti Nam berhubung, bertukar maklumat dan memperluas koleksi masing-masing. Dia kini aktif dalam kumpulan pengumpul dalam talian. – ANN/Viet Nam News

