KAHERAH – Kenderaan lanca bermotor yang juga dikenali sebagai tuk-tuk telah berleluasa di sepanjang jalan Kaherah selama dua dekad yang lalu, menelusuri kawasan lorong yang berdebu, mengelak terkena tong sampah dan gerai buah-buahan, sambil mengeluarkan bunyi pop berirama dan menavigasi kesesakan bandar bagi membawa berjuta-juta penduduk Mesir setiap hari.
Kini, pihak kerajaan sedang berusaha keras untuk mengehadkan penggunaan kenderaan beroda tiga ini yang dianggap mencemarkan sekali gus memodenkan sistem pengangkutan negara itu yang terabai, merancang menggantikan tuk-tuk dengan van mini yang lebih bersih.
“Ini adalah untuk kepentingan kesihatan dan keselamatan kesemua penduduk Mesir,” kata Khaled El-Qaddim, jurucakap Kementerian Pembangunan Tempatan Mesir, yang menerajui inisiatif tersebut. “Kami ingin mewujudkan imej bandar yang indah di negara ini,” jelasnya.
Pihak kerajaan telah lama membiarkan tuk tuk menjadi sebahagian daripada pengangkutan penduduk di perkampungan yang luas di Kaherah.
Perancangan baharu itu memerlukan pemandu untuk menjual tuk-tuk mereka dan mendapatkan pinjaman untuk membeli van mini baharu – atau berdepan risiko denda malah pendakwaan. Ia telah membangkitkan kebimbangan khususnya terhadap penduduk Mesir miskin yang sudah dihimpit dengan isu penjimatan ekonomi dan membebankan lagi kesusahan mereka.


“Saya lebih rela bekerja sebagai pencuri daripada membayar tiket van mini ini,” kata Ehab Sobhy, seorang lelaki yang berumur 47 tahun dan menghasilkan 130 pound, kira-kira AS$8 sehari dengan menelusuri kawasan Shobra yang padat.
“Jika mereka mengambilnya, bagaimana saya menyara kehidupan keluarga saya,” tanya Sobhy. Walaupun dengan bantuan pihak kerajaan, dia berkata bahawa dia tidak akan mampu membayar 90,000 pound untuk keperluan minivan baharu tersebut.
“Ia akan membawa wang kepada bank, keperluan yang dikehendaki oleh penduduk,” kata Mohammed Zaydan, 52, dan mula memandu tuk tuk selepas mengalami kesukaran untuk memperoleh pendapatan sebagai seorang pelukis. “Jika mereka mengharamkan tuk-tuk, mereka seperti menginjak-injak penduduk miskin,” tambahnya kepada media.
Bekas kerajaan Presiden Hosni Mubarak cuba untuk membendung penggunaan tuk-tuk, mengharamkan kenderaan ini di kebanyakan kawasan kejiranan mewah di Kaherah akan tetapi membenarkan bahagian-bahagian tuk-tuk untuk dijual dan didatangkan dari Asia Selatan ke Mesir, di mana pengeluar kereta memasang tuk-tuk dan menjual kenderaan itu secara haram.
Ia merupakan contoh klasik terhadap pendekatan bertentangan dengan ekonomi yang tidak formal, menyumbang sebanyak 50 peratus hingga 60 peratus daripada KDNK Mesir, menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa.
“Disebabkan oleh keupayaannya yang terbatas, kebanyakan penduduk wilayah hidup dalam prinsip kualiti hidup yang tidak seimbang atau infrastruktur yang dibuat atau dilakukan sendiri, seperti kawasan perumahan yang tidak sah dan banyak lagi,” kata Amr Adly, pakar ekonomi yang berpangkalan di Kaherah.
Memudahkan mereka yang memerlukan
Perniagaan ‘meletup’ dengan kenderaan becak menjadi sangat terkenal khususnya terhadap mereka yang kurang upaya, warga emas dan wanita yang ingin mengelak gangguan di stesen perhentian bas yang sesak dan padat. Akan tetapi kesemua itu akan berubah tidak lama lagi.
Kini, Presiden Abdel-Fattah El-Sissi, yang telah menghabiskan masa selama lima tahun dengan cuba merombak imej Mesir, sedang menyasarkan kenderaan yang tidak dapat dikawal dan tidak berlesen.
Pada tahun lalu, dia telah meluluskan undang-undang lalu lintas yang mengharuskan kesemua pembeli untuk melesenkan kenderaan tuk-tuk mereka. Kumpulan Ghabbour, pengeluar kereta terbesar di negara ini, berdepan masalah besar, jualan tuk-tuk jatuh sebanyak 60 peratus.
Pada bulan September, Perdana Menteri, Mostafa Madbouly mengumumkan rancangan untuk membersihkan tuk-tuk di 20 wilayahnya, menukarnya untuk van mini yang lebih hijau. Cadangan itu, menawarkan pemandu tempoh selama lima tahun, menghalang tuk-tuk untuk beroperasi di kawasan bandar dan jalan utama akan tetapi membenarkan tuk-tuk berlesen untuk terus beroperasi di lorong-lorong sempit dan kampung-kampung di luar bandar.
Kementerian pengeluaran kewangan dan ketenteraan Mesir, bersama-sama dengan tiga pengeluar kereta utama telah membuka kajian ekonomi untuk mengenal pasti butiran-butiran itu dan menjangkakan bas mikro akan berleluasa di jalan-jalan utama dalam masa satu tahun.
Sejak mengambil alih kuasa pada tahun 2014, El-Sissi telah memberikan tumpuan kepada projek-projek mega dan bercita-cita tinggi, membina kompleks perumahan mewah dan modal pentadbiran baharu yang bernilai AS$45 bilion di pesisir Kaherah. Matlamat mereka adalah untuk memulihkan sektor pelancongan dan menarik pelaburan asing dalam usaha negara itu untuk pulih dari pergolakan dan pemberontakan serta menggulingkan Mubarak. – AP