YAN – Menikmati air nira asli di bawah rimbunan pokok nipah sambil menghayati pemandangan sawah padi yang menghijau pastinya menenangkan, itulah perasaan mereka yang berkunjung ke Ladang Nipah Ismail Che Kar di Jalan Kuala Sedaka, dekat sini.
Pokok nipah adalah tumbuhan palma yang hidup subur di kawasan yang berpaya, lembap dan berlumpur. Ia boleh didapati di kawasan pinggiran kampung, tepi sungai dan tepi pantai. Pokok yang boleh dipelbagaigunakan oleh penduduk kampung.
Daunnya di jalin menjadi atap, boleh menjadi pembalut makanan, boleh juga dibuat ‘perasap’ sebagai rokok daun nipah. Buahnya boleh dimakan dan tangkai buah pula bila diproses dengan kaedah tertentu boleh menghasilkan air atau dikenali sebagai nira. Nira yang dihasilkan sangat enak dan manis. Sesuai untuk menyejukkan badan dan menghilangkan dahaga bahkan mempunyai nilai perubatan.
Daerah Yan merupakan antara kawasan pengeluaran nira nipah yang terkenal di Kedah. Kebetulan ada urusan di daerah ini lalu singgah ke Ladang Nipah milik Ismail Che Kar yang menjadi terkenal ekoran musim piliharaya kecil DUN Sungai Limau pada 04 November 2013 lalu.
Telah mengusahakan perniagaan ini sejak 20 tahun lalu dan mula mempromosikan sebagai kawasan tarikan atau taman sejak tahun 2009. Beliau bersama isterinya Rohana Ali telah meningkatkan taraf dengan mencantikkan kawasan paya berdekatan rumah mereka. Kawasan berlumpur ditambun dan diletakan meja taman tetapi masih mengekalkan ekologinya agar pengunjung dapat melihat secara dekat cara dan proses pengambilan nira.



Pengunjung boleh menikmati nira dengan harga RM10.00 satu jag dan sepinggan kacang goreng. Kenikmatan akan dirasai bila meminum nira yang segar di bawah teduhan pohon nipah sambil disapa angin bendang.
Diwarisi sejak 100 tahun
Ladang milik Ismail Che Kar, 50, yang diwarisi sejak kira-kira 100 tahun lalu itu telah diubah landskapnya dengan menerapkan konsep kedai makan dalam ladang, menerima ramai pelanggan dari dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Indonesia dan Korea sejak mula dipromosikan pada 2009.
“Kami menawarkan air nipah asli yang segar dan terus daripada pokok untuk dihidangkan kepada pelanggan malah mereka boleh melihat sendiri cara mengambilnya secara lebih dekat,” katanya ketika ditemui Bernama di ladangnya di sini baru-baru ini.
Terdapat 300 pokok nipah daripada spesies sawa besar dan padi di ladang itu yang mana dalam sehari, Ismail berkata mereka menggunakan lebih 40 liter air nipah dari ladangnya sendiri selain mendapatkan bekalan daripada pengusaha nira yang lain.


Selain air nira yang dihidangkan secara set bersama kacang tanah, beliau dan isteri Rohana Ali, 49, turut menyediakan beberapa menu lain seperti laksa dan bihun goreng kuah laksa, hidangan terkenal utara semenanjung.
Bagi Wan Yakub Wan Yusof, 61, pelanggan tetap dari Pendang, beliau berkata air nira yang terdapat di ladang itu amat berbeza rasanya berbanding di tempat lain yang pernah dikunjunginya.
“Rasanya segar dan tidak berbau lumpur menyebabkan kami sekeluarga tertarik untuk datang ke sini sekurang-kurangnya dua kali setiap bulan,” katanya.
Turut berkongsi pandangan sama ialah Fadilah Amin, 37, yang berasal dari Alor Setar yang menyifatkan air nira di ladang itu yang terbaik di negeri ini kerana rasanya yang asli tanpa campuran gula.
“Malah persekitaran di sini amat mendamaikan sesuai untuk sekeluarga bersantai meluangkan masa hujung minggu,” katanya. – Bernama