IBU kota Sumatera, Palembang di Indonesia bukan sahaja terkenal dengan keenakan kek ikannya yang dikenali sebagai pempek namun ia juga memiliki sebuah pasar iaitu Pasar Kuto yang beroperasi selama 24 jam dan cukup terkenal dalam menawarkan buah durian segar.
Terletak di Daerah Ilir Timur II, jarak perjalanan di antara Jambatan Ampera menuju ke pasar itu mengambil masa sekitar 15 minit.
Menurut laporan tempo.com, tatkala pengunjung tiba di hadapan pintu pasar tersebut setentunya akan terhidu bau buah durian yang boleh dikatakan wangi.
Salah sebuah dari gerai itu dimiliki oleh Fikri. Lokasi gerainya cukup ideal kerana ia terletak dibawah pokok dan setentunya juga berasa selesa untuk menikmati buah tersebut memandangkan kerusi dan meja turut disediakan.
Ketika pelanggan mula menghampiri gerai itu, Fikri segera mencarikan dan menawarkan buah terbaik kepada pelanggannya untuk menarik perhatian mereka menjamu selera di gerai duriannya.

Fikri akan mengetuk-ngetuk buah durian tersebut sambil menghidunya sebelum membukanya dan menghidangkannya kepada pelanggan.
Terdapat pelbagai variasi durian yang ditawarkan di pasar tersebut seperti Lahat, Tanjung, Padang dan Medan.
“Ia adalah tergantung kepada musim durian dan kini adalah musim Durian Lahat yang memiliki isi tebal dan rasa yang sangat manis,” jelas Fikri.
Rata-rata setiap biji durian itu ditawarkan pada harga sekitar Rp20,000 ke Rp 50,000. – Agensi