Thursday, March 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meninggalkan sembahyang fardu Jumaat: melanggar perintah Allah

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Hari Jumaat adalah hari yang paling agung daripada hari-hari yang lain, sehinggakan keagungannya disebutkan dalam sebuah hadis bahawa hari Jumaat adalah lebih baik daripada Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri. Daripada Abu Lubabah bin ‘Abdul Mundzir Radhiallahu ‘anhu, meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya:

    “Sesungguhnya hari Jumaat ialah kepala sekalian hari dan hari yang terbesar di sisi Allah, dan ia lebih besar di sisi Allah daripada Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri…” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

    Sembahyang fardu Jumaat diwajibkan (fardu ‘ain) ke atas setiap lelaki Islam yang merdeka, baligh, berakal, bermukim dan tidak ada keuzuran. Kewajipan mengerjakannya ada disebutkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah: 9)

    Melanggar perintah Allah SWT

    Mereka yang ada keuzuran yang diberi kelonggaran (rukhshah) pada meninggalkan sembahyang berjemaah adalah tidak diwajibkan sembahyang fardu Jumaat seperti sakit yang boleh menambahkan lagi sakit atau melambatkan sembuh, sakit cirit birit kerana takut akan mencemarkan kebersihan masjid atau sibuk kerana menguruskan mayat yang ditakuti jika dilambatkan akan menyebabkan mayat menjadi busuk.

    Orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat janganlah sekali-kali meninggalkan sembahyang fardu Jumaat melainkan ada keuzuran syarie. – AFP

    Namun bagaimana pula dengan orang yang sengaja meninggalkan sembahyang fardu Jumaat tanpa sebarang keuzuran? Perlu diingat, sesiapa yang meninggalkan sembahyang fardu Jumaat tanpa ada uzur syarie adalah perbuatan dosa dan melanggar pe-rintah Allah, apatah lagi jika meninggalkannya tiga kali berturut-turut, hatinya akan dicap oleh Allah sebagai hati orang munafiq. Abu al-Ja‘d adh-Dhamriy Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali tanpa keuzuran maka dia adalah munafiq.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

    Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya:

    “Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali berturut-turut maka dia telah membuang Islam itu di belakangnya (meninggalkannya).” (Hadis riwayat Abu Ya‘la)

    Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahhu ‘anhu bahawa Nabi SAW pernah bersabda kepada satu kaum yang tidak bersembahyang fardhu Jumaat, Baginda bersabda yang maksudnya:

    “Aku menitikberatkan (memerintahkan) supaya seorang lelaki itu bersembahyang dengan beramai-ramai (berjemaah), kemudian aku berazam untuk membakar rumah-rumah mereka (lelaki) yang meninggalkan sembahyang Jumaat.” (Hadis riwayat Muslim)

    Oleh itu, orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat janganlah sekali-kali meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat melainkan ada keuzuran syarie.

    Ini kerana perbuatan itu adalah melanggar perintah Allah dan orang yang meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut dicap sebagai orang munafiq.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda