Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, adalah seorang raja dan pemimpin yang berwawasan jauh yang bukan saja berhasrat mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi malah Baginda Sultan juga menginginkan rakyatnya mempunyai rumah yang selesa.
Ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 itu, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan telah mengatur beberapa strategi bagi meningkatkan penghasilan perumahan sekali gus dapat meng;urangkan tempoh menunggu peruntukan perumahan kepada kurang dari 10 tahun.
Antara beberapa strategi diambil bagi mempercepatkan penghasilan perumahan itu antaranya melaksanakan pembinaan perumahan secara berpakej iaitu mencantumkan kerja atau pembinaan infrastruktur dengan pembinaan perumahan.
Di samping membina perumahan jenis berasingan, jenis kembar dan teres turut memperbanyakkan kualiti atau bilangan rumah dalam satu kontrak atau pembinaan.
Sehubungan itu, Baginda Sultan berkenan berangkat mengurniakan lot-lot tanah dan anak-anak kunci rumah di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) bagi daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

Sejarah awal perumahan untuk rakyat
Jika dilihat sejarah awal perumahan untuk rakyat ini, Rancangan Perpindahan Negara mula diperkenalkan dan dilaksanakan sejak era pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddin Sa’adul Khairi Waddien lagi.
Dasar awal perumahan dari tahun 1950-an hingga 1960-an ialah memindahkan penduduk Kampong Ayer ke darat dengan hasrat kerajaan memberi peluang penduduk terlibat memiliki tanah dan bercucuk tanam membiayai penghidupan mereka.
Menyedari kepentingan memiliki rumah ini yang menjadi salah satu keperluan rakyat, skop dan matlamat rancangan perpindahan telah diperluaskan dan ini bermula pada tahun 1970 di mana dasar awal perpindahan berkenaan digubal dengan sasaran setiap rakyat yang berkelayakan mendiami dan memiliki rumah.
Matlamat ini adalah untuk menyediakan rumah selamat, berkualiti dan harga yang ditawarkan adalah harga yang termampu.
Tapak perumahan untuk rakyat ini bermula pada tahun 1952 di mana perpindahan yang pertama adalah memindahkan sebahagian penduduk Kampung Pengiran Bendahara Lama di Kampong Ayer ke kawasan Perpindahan Kampung Bunut di Mukim Kilanas.
Keluasan tanah di peruntukkan bagi rancangan perpindahan ini ialah 56 ekar di mana 28 buah keluarga telah menyertai rancangan perpindahan pertama ini dan rancangan perpindahan kedua dilaksanakan pada tahun 1953 dan melibatkan lima buah kampung di Mukim Berakas.
Manakala rancangan perpindahan ketiga dilaksanakan pada tahun 1954 di mana perpindahan ini adalah bagi perpindahan Kampung Jaya Setia dan Kampung Jaya Bakti atau lebih dikenali dengan nama Kampung Perpindahan Berakas.
Ke arah memantapkan lagi keberkesanan perpindahan ini, satu kaji selidik di seluruh negara dilaksanakan pada tahun 1976 untuk mengetahui jumlah rakyat yang ingin berpindah dan memiliki rumah sendiri.
Kaji selidik ini adalah untuk menilai sejauh mana skim perumahan dapat membantu keperluan rakyat daripada segi memberikan perlindungan dan untuk mengetahui jenis rumah yang sesuai dengan mereka yang seimbang dengan adat tradisi orang-orang Brunei.
Selain untuk merangka jumlah penduduk di dalam satu kawasan bagi memastikan perancangan dan menyediakan perumahan lebih teratur dan selesa yang dilengkapi dengan kemudahan awam.
Untuk mengikuti perubahan masa, jenis perumahan yang disediakan oleh jabatan berkenaan memperlihatkan reka bentuk moden dan kontemporari seperti reka bentuk ‘Kluster’.
Perancangan perumahan
Pelaksanaan RPN dan STKRJ sejak tahun 1970 hingga kini telah berjaya menyediakan lebih 28 ribu unit di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut 18,840 unit bagi Daerah Brunei dan Muara, 6585 unit di Daerah Belait, 2,979 unit lagi di Daerah Tutong dan Temburong, 635 unit.
Manakala sejumlah 28,216 unit telah diperuntukkan kepada pemohon yang berkelayakan dan daripada jumlah itu lebih 26 ribu pemohon telah menerima kunci rumah dan lebih satu ribu orang dianugerahkan lot tanah.
Aspek perancangan merupakan aspek terpenting dalam menyediakan perumahan yang mampan dan dalam perkara ini, Kementerian Pembangunan telah mengambil inisiatif menubuhkan satu jawatankuasa yang dipanggil Kumpulan Fokus Perumahan bagi memastikan perancangan perumahan di negara ini dapat dilaksanakan dalam usaha mempercepatkan pembinaan rumah.
Di samping memberi penekanan pada pembinaan yang berdaya tahan serta optima dari segi penggunaan tanah, kos dan pemberian subsidi kerajaan selain mengambil kira keupayaan pemilik untuk membayar perumahan yang diterima.
Kumpulan ini juga melibatkan beberapa kementerian dan jabatan dalam sama-sama mengimbangkan isu perumahan yang berkaitan.
Bukan setakat itu, komitmen kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat tidak hanya kepada aspek pembinaan perumahan saja tapi kerajaan juga mengambil berat kepada aspek inovasi dalam industri perumahan negara yang mana kerajaan sentiasa menggalakkan penerokaan teknologi terbaru dalam menyediakan perumahan yang mesra alam dan penjimatan tenaga.
Ke arah merealisasikan tujuan utama Skim Perumahan Negara ini, ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak sama ada melibatkan agensi kerajaan atau swasta.