Oleh Lyna Mohamad
TUJUH orang pelajar Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) dari Fakulti Teknologi Maklumat telah berlepas ke Cyberjaya, Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini, bagi mengikuti KL Global Classroom (GC) selama dua minggu.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada pelajar-pelajar berkenaan ialah Ketua Fakulti IT, Awang Mohd Zaini bin Matondang dan Penolong Ketua, Dayang Siti Nasyroh binti Mat Nayan.
Projek di antara Universiti Limkokwing dan Kolej IGS itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan meluas pelajar mengenai teknologi dan berpeluang untuk bertemu dengan pelajar-pelajar antarabangsa lain dari 150 buah negara.
Menurut Awang Mohd Zaini, program kerjasama itu bermula pada April 2013 dan melihat kepada hasil positif program berkenaan, ia telah dijalankan setiap tahun yang mana, program telah banyak membantu pelajar terutamanya dalam membuka minda mengenai sistem pendidikan, pengajaran dan proses pembelajaran.
Ia juga mendedahkan mereka mengenai perbezaan dengan apa yang terdapat di sini serta memberi inspirasi dan memotivasikan mereka bagi projek utama mereka khasnya dan kerjaya masa depan amnya.
Katanya lagi, daripada apa yang dilihat daripada pelajar-pelajar sebelumnya yang terlibat dalam program GC itu, mereka telah mengimprovisasi pengetahuan dan personaliti mereka dan mereka juga menjadi lebih berkeyakinan bercakap di khalayak ramai dan semakin baik dalam pemikiran kritikal.
Program GC di Kuala Lumpur dan United Kingdom adalah platform yang baik bagi pendedahan pelajar dan membuka minda mereka dalam cara yang sangat signifikan, ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Multimedia dan Penyiaran, Haji Hasnul Hamdani yang turut hadir menjelaskan bahawa semasa program dua minggu itu, pelajar-pelajar akan diberikan tugasan atau projek, yang akan memerlukan mereka membuat pembentangan mengenainya kepada para profesor, pensyarah, wakil-wakil sektor swasta dan lain-lain yang berkaitan dengan projek perindustrian.
Pengambilan GC seterusnya adalah bagi pelajar yang mengikuti GC di United Kingdom pada September 2018.
