Thursday, May 9, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    ‘Menjadi tua sebelum kaya’

    BANGKOK – Jika dia tidak berbaris untuk menerima makanan percuma semasa cuaca panas terik matahari, bermakna hanya roti berinti sos sahajalah makanan yang ada untuk seorang balu Thailand bernama Noi yang tinggal di rumah pencen kerajaan.

    Bayaran pencen beliau yang sangat rendah, bernilai kira-kira AS$0.82 sen sehari, menjadikannya mustahil untuk memasak apa pun hidangan.

    “Jika cuaca hujan, saya makan roti 7-Eleven dengan sos tomato,” kata Noi, yang berusia 73 tahun, kepada AFP di khemah penghantaran makanan Yayasan Bantuan Komuniti Bangkok, yang memberi makanan kepada 500 orang gelandangan dan golongan miskin di bandar itu setiap hari.

    Thailand adalah salah satu masyarakat yang mengalami penuaan pesat di dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), meskipun ekonominya kurang bersedia.

    Kajian daripada bank utama Thailand, Kasikorn Bank, menganggarkan bahawa menjelang tahun 2029, negara itu akan menyertai senarai masyarakat penuaan hebat di mana lebih daripada 20 peratus populasi adalah berusia lebih daripada 65 tahun.

    Warga emas menerima sumbangan makanan harian daripada Yayasan Bantuan Komuniti Bangkok, berhampiran Istana Besar di Bangkok. – Gambar AFP
    Orn Keawwilat di luar kedai runcitnya bersama empat ahli keluarganya. – Gambar AFP
    Maan Keawwilat yang menghidap penyakit jantung dan masalah hati, mendukung salah seorang cucunya di luar rumahnya. – Gambar AFP
    Gambar AFP
    Suchart Kaewkhio terlantar di rumahnya di kawasan setinggan Klong Toey di Bangkok. – Gambar AFP

    Tetapi Thailand belum mencapai tahap kekayaan yang sama dengan beberapa masyarakat yang mengalami penuaan seperti Jepun dan Jerman.

    “Mereka telah menjadi tua sebelum menjadi kaya,” kata Ketua Ekonomi Kasikorn Bank, Burin Adulwattana.

    “Mereka tidak bersedia.”

    Pada masa ini, Thailand adalah tempat tinggal kepada lebih 12 juta penduduk berusia 60 tahun ke atas – kira-kira 18 peratus daripada populasi.

    Pendapatan rendah, simpanan yang terhad dan pencen kerajaan yang tidak mencukupi akan menyebabkan ramai mengalami kemiskinan ekstrem, manakala bil cukai yang lebih rendah dan belanjawan penjagaan kesihatan yang dijangka meningkat tiga kali ganda akan menjadi beban fiskal yang besar.

    “Ini adalah masalah yang dapat menyebabkan impak besar di masa akan datang jika tidak ditangani dengan baik,” kata Kirida Bhaopichitr, dari Institut Penyelidikan Pembangunan Thailand. Kemiskinan dalam kalangan warga emas yang lebih tua sudah meluas, dengan 34 peratus warga emas Thailand hidup di bawah paras kemiskinan, hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$830 setahun, menurut Kasikorn.

    Untuk bersara dengan baik di Bangkok, sekurang-kurangnya diperlukan simpanan berjumlah AS$100,000, kata Burin, tetapi ramai penduduk Thailand bersara dengan kurang daripada AS$1,300.

    Pada bulan Ogos, kerajaan yang baru meletak jawatan mengumumkan bahawa pemberian pencen sebelum ini yang diselenggarakan antara AS$16 dan AS$27 sebulan kepada semua golongan pendapatan akan dibatasi kepada mereka yang berpendapatan rendah, menyekat 6 juta orang.

    Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, telah berjanji untuk membasmi kemiskinan menjelang tahun 2027 dan ‘tidak membiarkan sesiapa pun’.

    Partinya telah berjanji untuk memberikan bantuan kebajikan untuk warga emas bernilai AS$8.1 bilion dalam pilihan raya, tetapi kerajaan belum mengumumkan sebarang peningkatan pencen.

    Pada bulan lalu, Menteri Pembangunan Sosial, Warawut Silpaarcha, menolak desakan untuk meningkatkan pencen kepada AS$81 sebulan, dengan mengatakan bahawa negara itu tidak mampu.

    “Saya berharap kerajaan dapat memberikan lebih banyak sokongan kerana pada masa ini kos sara hidup sedang meningkat,” kata Chusri Kaewkhio, yang berusia 73 tahun, di kampung kumuh Khlong Toei Bangkok.

    Suaminya yang berusia 75 tahun, Suchart Kaewkhio, terbaring di atas katil dengan lampin dewasa, merenung ke atas dengan cat yang mengelupas dan siling yang rosak akibat kerosakan air, tetapi Chusri berkata mereka tidak mempunyai wang untuk membaiki.

    Mereka meminjam wang setiap bulan untuk membeli susu yang mahal untuk tiub pemakanan suaminya dan bil elektrik tertunggak selama lima bulan.

    Di Thailand, terdapat jangkaan budaya yang mana anak dewasa akan menjaga ibu bapa mereka semasa penuaan mereka. Tetapi pakar ekonomi Burin berkata ini tidak mampan dalam jangka panjang kerana ekonomi bergelut dengan tenaga kerja yang lebih kecil, pertumbuhan yang lebih rendah dan perbelanjaan pengguna.

    Sementara lelaki bekerja sehingga umur kira-kira 65 tahun, wanita Thailand mula berhenti bekerja sekitar umur 50 tahun untuk menjaga ibu bapa dan mertua yang semakin uzur, kata penyelidik Kirida, sambil menambah bahawa perlu ada peningkatan dalam pusat jagaan warga emas yang mampu dimiliki.

    Orn Keawwilat, 57, meng-hadapi tugasan yang mencabar iaitu menjaga ibu bapa yang uzur sambil menjalankan kedai runcit kecil untuk menyara isi rumahnya yang terdiri daripada 12 orang.

    Bapanya yang terlantar sakit di katil Arj, 88, baru-baru ini terjatuh ketika hendak ke bilik air dan telah kehilangan keupayaan untuk bercakap akibat penyakit neuron motor.

    “Dia perlu diberi makan dengan tangan dan dipantau sepanjang masa kerana kadangkala dia tersedak,” kata Orn kepada AFP. Perubahan besar dalam segi fizikal dan budaya serta pelaburan diperlukan untuk mengatasi perubahan demografi Thailand.

    Kementerian Sumber Manusia sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan umur persaraan melepasi 55-60 tahun sekarang.

    Kerajaan akan diperlukan untuk meningkatkan cukai nilai tambah daripada tujuh hingga 10 peratus dalam masa depan dan mempertimbangkan untuk mengenakan cukai ke atas kekayaan dan warisan, kata Burin.

    Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, sedang meningkatkan pusat-pusat aktiviti warga emas dan klinik kesihatan.

    Tetapi bagi kebanyakan orang, persaraan bermaruah adalah cuma angan-angan.

    Aew, seorang bekas guru selama 30 tahun, tidak pernah berkahwin, kehilangan rumahnya semasa pandemik dan kini tidur di atas kerusi di stesen kereta api Bang Sue Grand.

    “Pencen tidak mencukupi. Saya juga membuat bunga plastik untuk dijual di jalan.

    “Tetapi saya mahu bekerja,” kata Aew, yang berusia 70 tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Syarikat roti Jepun tarik balik produk berhubung penemuan badan tikus

    TOKYO, 9 MEI - Pengeluar roti dari Jepun, Pasco Shikishima Corp pada Rabu secara sukarela menarik balik kira-kira 104,000 paket jenama roti Chojuku selepas...