Oleh Adiiwira
Dalam menjaga kebersihan diri, kita seharusnya tidak hanya menumpukan keadaan bersih pada anggota badan dari kotoran dan memakai pakaian yang bersih. Malah, kita juga sepatutnya menjaga kebersihan diri dengan memastikan kuku kita dalam keadaan pendek.
Memotong kuku merupakan perkara fitrah manusia untuk menjaga kebersihan dalam memastikan kuku tidak menjadi sarang kuman dan penyakit. Antaranya juga, memotong kuku ini merupakan amalan yang dianjurkan di dalam Islam kerana ia termasuk daripada sunnah Rasulullah.
Meskipun kita disarankan untuk memotong kuku kita menjadi pendek tetapi kita juga perlu memastikan tidak berlakunya cagu, iaitu keadaan kuku jari menumbuh ke sisi dan menekan tisu pada bahagian tepi jari. Jika berlakunya cagu ini, tisu pada sisi kuku mengalami keradangan dan menjadi tebal.
Di dalam satu entri di laman sosial, penulis menjumpai satu perkongsian daripada seorang pegawai perubatan di Malaysia menjelaskan mengenai cagu dan penyebabnya. Menurut pegawai perubatan itu, cagu sering berlaku pada ibu jari kaki dan biasanya ia dijangkiti kuman dan mengeluarkan nanah yang boleh menyebabkan kesakitan yang amat sangat.
Malah lebih parah lagi, keadaan itu juga akan mengakibatkan gangguan emosi terhadap pesakit akibat bau yang kurang menyenangkan dan pesakit tidak boleh memakai kasut akibat kesakitan.
Menurut pegawai perubatan berkenaan antara penyebab berlaku cagu ialah memotong kuku terlalu pendek terutama pada bahagian tepi kuku dan memakai kasut yang ketat.
Menurut pegawai perubatan itu, cagu biasanya menunjukkan tandanya apabila berlakunya bengkak pada jari, kemerah-merahan dan bernanah.
Untuk merawat cagu ini, pesakit disarankan untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan ubat antibiotik dan ubat penahan sakit (jika perlu). Di samping itu juga, pesakit disarankan untuk menjaga kebersihan kaki setiap hari dan merendamkan kaki dalam air suam antara 3 ke 4 kali sehari dan biarkan kering selepas itu. Jangan memakai kasut bertutup sementara waktu (dalam rawatan) dan elakkan pakai kasut ketat dihujungnya.