(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Tertib merupakan salah satu daripada rukun wudhu’. Ia bermaksud melakukan rukun-rukun wudhu’ dengan tersusun iaitu hendaklah mendahulukan membasuh muka berserta niat, kemudian membasuh kedua tangan, diikuti dengan menyapu kepala dan diakhiri dengan membasuh kedua kaki.
Jika dilakukan rukun-rukun wudhu’ itu bukan pada tempatnya seperti mendahulukan membasuh kaki daripada menyapu kepala, maka perbuatan membasuh kaki itu tidak dikira dan wajib diulang perbuatan membasuh kaki itu setelah menyapu kepala.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (sedang kamu berhadats kecil) maka (berwudhu’lah iaitu) basuhlah muka kamu dan kedua tangan kamu hingga ke siku, sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua kaki kamu hingga ke buku lali.
(Surah al-Ma’idah: 6)
Ayat ini menunjukkan kewajipan berwudhu’ dengan membasuh anggota-anggota wudhu’ yang wajib dengan mengikut tertib iaitu mendahului membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu kepala dan membasuh kedua kaki.
Adapun tayammum pula, menurut istilah syara‘ ialah menyampaikan tanah ke muka dan dua tangan sebagai ganti kepada wudhu’ dan mandi atau sebagai ganti kepada anggota wudhu’ dan anggota mandi dengan syarat-syarat tertentu. Ia merupakan rukhshah atau keringanan bagi orang yang tidak boleh menggunakan air untuk berwudhu’ dan mandi kerana sakit atau kerana ketiadaan air atau kerana air yang ada itu diperlukan untuk menghilangkan dahaga.
Salah satu sebab untuk bertayammum itu adalah tidak boleh menggunakan air pada anggota wudhu’ kerana sakit sama ada anggota wudhu’ itu berbalut ataupun tidak. Oleh sebab itu, dituntut bertayammum sebagai ganti kepada anggota wudhu’ yang sakit itu.
Apa yang perlu dijelaskan di sini ialah cara berwudhu’ di samping melakukan tayammum bagi menggantikan anggota wudhu’ yang sakit. Adakah melakukan tayammum bagi anggota wudhu’ yang sakit itu perlu mengikut tertib wudhu’ ataupun tidak? Sebagai contoh, anggota wudhu’ yang sakit itu ialah tangan, adakah melakukan tayammum sebagai ganti membasuh tangan yang sakit itu setelah membasuh muka sebagaimana mengikut tertib wudhu’ ataupun bertayammum sebelum membasuh muka atau selepas membasuh kaki atau pada mana-mana tempat tanpa mengikut tertib wudhu’?
