Monday, July 8, 2024
23 C
Brunei

    -

    Menjahit bantu pelarian sembuh daripada trauma perang

    KAMPLA – Di tengah kesibukan Kampala, ibu negara Uganda, sekumpulan wanita pelarian dari Congo sedang cuba menyesuaikan diri, berharap untuk sembuh daripada trauma perang yang mereka hadapi di kampung halaman mereka di timur Republik Demokratik Congo (DRC), dan berdikari di negara asing.

    Sempena Hari Pelarian Sedunia pada 20 Jun lalu, Grace Kashama, 38, seorang pelarian Congo berkata dalam temu bual dengan Xinhua di sebuah kelas menjahit yang penuh sesak di Makindye, pinggir bandar Kampala, bahawa dia berhasrat untuk mempelajari kemahiran itu supaya dia boleh membuka sebuah kedai jahit suatu hari nanti.

    Kashama adalah sebahagian daripada sekumpulan kecil 16 wanita, terdiri daripada pelarian Congo dan Somalia yang belajar menjahit di People for Peace and Defense of Rights (PPRD), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang diketuai oleh pelarian.

    Kumpulan Kashama, yang dinamakan ‘Princess’ adalah sebahagian daripada kumpulan lebih besar kira-kira 300 pelarian yang memperoleh pelbagai kemahiran seperti membuat seni dan kraf, mu-zik, fesyen dan reka bentuk di PPRD.

    “Saya memutuskan untuk mengambil bidang jahitan kerana saya tahu pada masa akan datang ia boleh menjaga saya dan anak-anak saya.

    Seorang kakitangan PPRD (kanan) membantu pelarian mempelajari kemahiran menjahit semasa kelas latihan jahitan dan fesyen di Kampala, Uganda. – Xinhua
    Pelarian Congo, Grace Kashama (kiri) mempelajari kemahiran jahitan di bawah bimbingan kakitangan PPRD. – Xinhua
    Wanita pelarian menghadiri kelas latihan jahitan dan fesyen. – Xinhua
    Seorang wanita pelarian bekerja menjalin kraf di rumahnya di Kampala, Uganda. – Xinhua
    Joyeux Mugisho bercakap semasa wawancara dengan Xinhua di Kampala, Uganda. – Xinhua

    Apabila saya mula menjahit, walaupun saya mendapat sedikit wang, saya boleh bertahan,” kata Kashama. Kashama melarikan diri dari kampung halamannya di Beni, sebuah bandar di timur laut DRC selepas suaminya dibunuh pada tahun 2017.

    Florence Mwavita Bitonde, 68, seorang lagi pelarian Congo, kini sudah berdikari di jalanan selepas memperoleh kemahiran dalam membuat seni dan kraf.

    Di sebuah rumah kecil, tinggal bersama lapan orang anaknya, Bitonde menggunakan premisnya sebagai bengkel kerja.

    Bitonde melarikan diri ke Uganda pada tahun 2015, selepas pemberontak menyerang rumahnya di Rutshuru, menyebabkan suaminya terbunuh.

    Bitonde berkata bahawa dia telah membuat kraf sejak lima tahun lalu dan telah mengubah kehidupannya.

    Setiap pagi, Bitonde bangun untuk membuat beg kraf dan skarf rajutan tangan. Dengan bantuan anak-anaknya, beg itu dijual kepada komuniti sekeliling.

    Dia kini turut menyampaikan kemahiran membuat krafnya kepada wanita pelarian dan komuniti tuan rumah yang lain.

    Kashama dan Bitonde adalah sebahagian daripada kumpulan kira-kira 5,000 wanita pelarian yang dilatih oleh PPRD untuk berdikari.

    Joyeux Mugisho, ketua PPRD, berkata bahawa menjadikan pelarian aktif dan terlibat dalam aktiviti menjana pendapatan membantu mereka pulih daripada trauma yang mereka hadapi di tanah air.

    “Kami percaya bahawa trauma sentiasa datang kembali apabila orang menderita.

    Apabila kami memberikan mereka kemahiran ini, ia membantu mereka memberikan tumpuan kepada perniagaan dan memperoleh pendapatan yang membantu mereka menjaga anak mereka, (membantu anak) untuk pergi ke sekolah dan mendapatkan makanan,” kata Mugisho.

    PPRD tidak beroperasi secara bersendirian dalam menyediakan pakej kemahiran kepada pelarian.

    Pada Februari tahun ini, Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Uganda melancarkan Model Berdikari bernilai AS$15 juta yang menyasarkan 100,000 pelarian dan komuniti tuan rumah untuk secara beransur-ansur menjamin kehidupan mereka sendiri dan mengurangkan pergantungan kepada bantuan kemanusiaan.

    Menurut agensi bantuan makanan itu, dengan pembiayaan global untuk program pelarian semakin berkurangan dan keadaan cuaca yang semakin tidak menentu, Model Berdikari akan menyokong pelarian dan komuniti tuan rumah untuk memenuhi keperluan makanan mereka sendiri dengan menggalakkan pelbagai pendapatan dan mata pencarian alternatif serta inklusi kewangan digital.

    Disebabkan kekurangan pembiayaan, program WFP mengurangkan jumlah makanan yang diberikan kepada pelarian. Hanya mereka yang sangat memerlukan akan menerima bantuan makanan.

    Pelarian lain seperti Bitonde dan Kashama tidak lagi menerima bantuan makanan daripada agensi itu.

    Uganda merupakan tuan rumah kepada lebih daripada 1.6 juta pelarian, menjadikannya salah satu negara penerima pelarian terbesar di dunia, menurut Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian.

    Kebanyakan pelarian datang dari negara jiran seperti Sudan Selatan, DRC, Burundi, Rwanda, dan Somalia antara lain. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua askar, enam suspek militan terbunuh dalam pertempuran di Kashmir

    NEW DELHI, 7 JULAI – Dua anggota tentera dan enam suspek militan terkorban dalam dua pertempuran berasingan di Kashmir yang ditadbir India, menurut polis, hari...