Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menjalankan aktiviti bengkel kereta di kawasan perumahan tidak dibenarkan

    Oleh SIM Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Jabatan Kemajuan Perumahan (JKP), Kementerian Pembangunan memaklumkan kepada semua pemilik rumah di kawasan perumahan negara bahawa menjalankan aktiviti bengkel kereta adalah menyalahi dan melanggar peraturan dan syarat-syarat dalam Perjanjian Pajakan bagi Skim Perumahan Negara iaitu tidak dibenarkan sebarang aktiviti perniagaan atau perusahaan.

    Perkara itu diumumkan oleh JKP dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, berikutan dengan dua kejadian kebakaran rumah di kawasan perumahan negara Kampung Lambak Kanan dan Kampung Rimba baru-baru ini yang disyaki berpunca daripada aktiviti bengkel kereta haram yang dijalankan oleh pemilik atau penghuni rumah berkenaan.

    Sebelum kejadian berkenaan, pihak JKP telah pun memberi notis kepada pemilik-pemilik rumah tersebut untuk menghentikan aktiviti mereka dengan memberi tempoh masa sebelum mengambil tindakan undang-undang selanjutnya.

    Dalam hal itu, JKP menyeru orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan perumahan negara untuk sentiasa mematuhi peraturan dan syarat-syarat perjanjian yang telah ditandatangani demi sama-sama menjaga kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan dalam kehidupan berjiran. Di samping itu juga, JKP menasihati supaya rumah atau bangunan sentiasa dilindungi dengan insurans kebakaran yang sah.

    Kerjasama orang ramai juga sa-ngat-sangat dihargai untuk melaporkan sebarang aktiviti seumpamanya kepada pihak JKP melalui Talian Darussalam 123 bagi mengelakkan sebarang gangguan atau kejadian yang tidak diingini berlaku di kawasan perumahan negara.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda