Menjejak kisah legenda pengayau Borneo

Meskipun amalan tradisi ‘mengayau’ memburu kepala sudah lama ditinggalkan tetapi bagi etnik Dusun Kujau, mereka masih mengamalkan upacara kuno menghormati roh orang-orang yang dipotong kepala oleh leluhur mereka.

Di Kampung Lipasu di Bingkor, yang terletak di pedalaman daerah Keningau dan kira-kira 105 kilometer dari sini, sebuah tengkorak berusia lebih 100 tahun diletakkan di tempat yang istimewa di pusat komuniti kampung tersebut.

Perkampungan Dusun Kujau yang majoritinya beragama Kristian – kumpulan kecil Kadazan-Dusun – penduduk Kampung Lipasu percaya bahawa roh  orang yang mati masih mendiami tengkoraknya dan ia mesti ‘dihormati’ sekerap mungkin menerusi upacara khas dipanggil mansilad dalam bahasa Dusun Kujau.

Pada lewat kurun ke-18 apabila amalan memburu kepala berleluasa dalam kalangan puak/kabilah Borneo, mansilad diadakan apabila pahlawan Dusun Kajau kembali ke perkampungan mereka dengan membawa kepala musuh mereka sebagai trofi kejayaan ekspedisi mereka.

Apabila amalan ini berakhir, upacara mansilad juga dihentikan se-hinggalah pada tahun 1982 apabila penduduk Kampung Lipasu membuat keputusan untuk menghidupkan semula upacara tersebut tetapi kali ini untuk mententeramkan roh si mati.

Penduduk Kampung Lipasu percaya roh  orang yang mati masih mendiami tengkoraknya dan ia mesti ‘dihormati’ sekerap mungkin menerusi upacara khas dipanggil mansilad dalam bahasa Dusun Kujau. – Bernama

Menurut setiausaha Persatuan Dusun Kujau Sabah, Saidi Tarai @ Tharoi: “Meskipun naluri memburu kepala dalam kalangan komuniti Dusun Kujau sudah lama luput, mereka masih berasa tanggungjawab untuk menghormati roh yang masih tinggal dalam tengkorak, meskipun tidak lagi menganjurkan upacara mansilad secara besar-besaran seperti zaman dahulu.

Beliau memberitahu Bernama, adalah menjadi kepercayaan nenek moyang mereka bahawa meskipun tengkorak itu adalah salah seorang mangsa, roh si mati perlu dihormati bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Upacara Mansilad 1982

Pada tahun 1982, Kampung Lipasu mempunyai dua buah tengkorak sebagai relik atau tinggalan amalan memburu kepala komuniti berkenaan tetapi kini hanya tinggal sebuah kerana yang satu lagi sudah hancur berkecai.

Menurut Saidi, 62, yang hadir pada upacara mansilad 1982, kedua-dua tengkorak itu dibawa dalam sebuah lori terbuka ke pusat komuniti di Bingkor, kira-kira tiga kilometer dari Kampung Lipasu.

“Beberapa orang bobolian (pawang) wanita mengawal tengkorak  di dalam lori, diiringi oleh sekumpulan lelaki yang memukul gong.

“Selepas keluar dari lori, tengkorak dibawa masuk ke dalam pusat komuniti, dengan pawang membaca mantera sebagai penghormatan kepada roh yang masih tinggal dalam tengkorak itu,” katanya, sambil menambah, selepas selesai upacara, tengkorak itu dibawa pulang ke kampung.

Satu-satunya tengkorak yang masih bertahan kini dalam penjagaan pawang kampung, Joseph Mitah, 52. Tugas beliau adalah untuk memastikan roh yang mendiami tengkorak ‘diberi penghormatan’ sekurang-kurangnya sekali setahun supaya roh itu berada dalam keadaan ‘aman.’

Pawang Semakin Kurang

Saidi, yang tinggal di Kampung Bingkor Baru, tidak pasti sama ada upacara mansilad 1982 boleh diadakan seperti sebelumnya kerana kesukaran mendapatkan khidmat pawang yang mahir dengan upacara yang begitu terperinci, termasuk membangunkan roh dan membuat persembahan. Bukan itu sahaja kekangannya kerana ia juga melibatkan kos yang besar. – Bernama

“Sekarang sukar untuk mencari pawang kerana generasi muda tak begitu berminat untuk belajar cara mengadakan upacara dan mantera dalam bahasa Dusun Kujau kerana mereka lebih selesa bertutur Bahasa Melayu,” katanya.

Menurut Saidi, “pasca-1982, pawang Kampung Lipasu, Joseph melakukan upacara secara kecil-kecilan untuk mententeramkan roh yang tinggal dalam tengkorak yang berada di kampung itu,” kata Saidi.

“Pawang akan memercikkan darah haiwan, boleh jadi khinzir, lembu atau ayam, ke atas tengkorak. Kos haiwan ditanggung oleh individu dari komuniti Dusun Kujau,” tambahnya.

Saidi menambah apabila beliau dan isterinya Florencia berkunjung ke rumah Joseph untuk meminta izin mengambil gambar tengkorak yang ada dalam simpanannya itu, pawang itu memberi persetujuan hanya selepas membaca mantera.

Tengkorak itu digantung di celah-celah daun kering tanaman silad.

“Daripada apa yang saya tahu, terdapat beberapa orang dalam komuniti kami yang pernah menyimpan tengkorak sebagai trofi. Tengkorak itu mungkin sudah hancur kerana sudah terlalu lama atau musnah selepas rumah mereka terbakar,” katanya. – Bernama