Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menjelajah sambil menerokai aktiviti menarik

    MELANCONG merupakan satu aktiviti riadah yang sangat menenangkan sehingga ia sering menjadi pilihan bagi menghilangkan rasa tekanan.

    Definisi aktiviti melancong itu sendiri tidak tertumpu hanya kepada melakukan aktiviti pengembaraan di luar negara malah ia juga boleh dilakukan di dalam negara.

    Malah, tidak semua individu yang gemar melakukan aktiviti membeli-belah atau melawat ke tempat-tempat menarik bahkan ada juga yang lebih selesa untuk menerokai sesuatu kawasan dan melakukan pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan.

    Justeru, Bandai Namco Studios dan Nintendo telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah permainan video yang lebih menampilkan kepada tema pelancongan dan penerokaan berjudul Go Vacation.

    Dalam permainan video ini pemain akan menerokai seluruh kawasan sebuah pulau yang memiliki empat buah tempat penginapan yang menawarkan lebih daripada aktiviti yang cukup menarik.

    Meluncur salji antara sukan ekstrem yang ditawarkan oleh Snow Resort dalam Go Vacation.

    Skrin terpisah memudahkan pemain memantau karakter yang dikawal dalam mod Multiplayer.

    Mencuba pelbagai aktiviti menarik

    Go Vacation memberi peluang kepada pemain untuk meneroka empat pusat penginapan yang menawarkan lebih dari 50 aktiviti menarik.

    Marine Resort lebih menumpukan kepada aktiviti sukan yang berasaskan air dan menawarkan aktiviti seperti menyelam, berenang, perlawanan pistol air, perlumbaan ATV, menyelam skuba, bola tampar dan berbasikal di atas air.

    Setentunya terdapat pengangkutan tertentu yang digunakan sepanjang berada di Marine Resort itu seperti bot dan kapal terbang bagi memudahkan aktiviti pengembaraan.

    Sementara, City Resort pula menawarkan aktiviti santai seperti, hoki, melontar pai dan aktviti sukan ekstrem moden seperti bermain kasut roda dan papan luncur.

    Melalui aktiviti berkasut roda dan papan luncur, pemain boleh melakukan pelbagai aksi-aksi tertentu di kawasan rel yang tersedia di sekitar bangun di seluruh kawasan bandaraya.

    Manakala Mountain Resort pula lebih menumpukan kepada aktiviti sukan lasak seperti berakit, berkayak, penerokaan, pacuan kereta empat roda dan menunggang kuda.

    Pemain harus sentiasa meningkatkan tahap pengawasan diri ketika melakukan aktiviti-aktiviti ini kerana sekiranya tersilap langkah setentunya boleh memberikan risiko kepada karakter yang dikawal.

    Berbeza pula keadaannya di Snow Resort yang menawarkan pelbagai aktiviti yang lebih tertumpu kepada sukan di musim dingin.

    Jelajah Mountain Resort untuk melakukan aktiviti lasak seperti menunggang kuda.

    Antara sukan musim sejuk yang ditawarkan itu adalah seperti luncur salji, snow tubing, ski, cabaran menjelajah kawasan bersalji dan perang salji.

    Tingkatkan kemahiran

    Dalam kembara penerokaan ke empat tempat yang berbeza itu setentunya pemain juga berpeluang untuk menemui pelbagai barangan yang terpendam.

    Di samping pemain juga berinteraksi dengan sebarang individu yang ditemui di sepanjang kembara itu sekali gus meningkatkan lagi nilai sosialisasi pada karakter yang dikawal.

    Pengalaman dan kemahiran pemain setentunya akan terus meningkat sekiranya pemain secara berterusan melakukan sesuatu aktiviti itu pada kadar yang cukup kerap.

    Penjelajahan dan kembara yang dilalui oleh pemain setentunya dengan mudah turut memberi pendapatan lebih kepada karakter yang dikawal.

    Mata wang yang dikumpulkan itu setentunya akan dapat digunakan oleh pemain untuk membeli pakaian dan juga perabot bagi melengkapi ruang sesebuah vila yang dibangunkan.

    Menariknya, permainan ini tidak hanya memberi ruang kepada single player bahkan pemain juga turut berkongsi keseronokan melalui mod Multiplayer dan bermain bersama rakan-rakan.

    Bagi memudahkan permainan dalam mod Multiplayer, pemain juga boleh menukar skrin biasa kepada skrin terpisah (split) bagi memberi kemudahan kepada pemain lain untuk mengenal pasti perkembangan karakter yang dikawal oleh mereka.

    Justeru, sekiranya anda berminat untuk mencuba pelbagai aktiviti menarik maka jangan terlepas untuk mengalaminya sendiri dalam Go Vacation yang dikeluarkan untuk platform Nintendo Switch.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda