Pengalaman zaman kanak-kanak menjadi pencetus ilham kepada penerbit Indonesia, Helfi Kardit untuk menghasilkan filem seram Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai.
Menurut Helfi, kenangan pada usia belasan tahun masih segar dalam ingatannya apabila seorang rakannya dipasung kerana dipercayai mengalami masalah mental.
Pengalaman itu mendorongnya mengangkat tema pasung dalam filem bagi memberi pemahaman kepada penonton mengenai kepercayaan orang terdahulu dalam menangani penyakit mental yang dianggap berkaitan alam mistik.
“Ketika itu umur saya 15 tahun, ada kawan saya dipasung kerana dianggap mempunyai masalah mental. Pada waktu itu banyak rawatan seperti itu dan sehingga sekarang pun masih ada, terutama di Sumatera dan Kalimantan.
“Alasannya mudah saja, mereka dipasung agar tidak mengganggu orang. Tapi ada kepercayaan mistik tubuh perlu dikembalikan pada tanah dan jiwa perlu menyatu dengan alam.
“Ini hanyalah kepercayaan. Dari sisi kemanusiaan memang nampak tidak berperikemanusiaan, tapi sisi mistiknya ada benarnya kerana tubuh dan jiwa adalah milik alam, tetapi dengan ilmu,” katanya kepada mStar.
Filem itu bukan sekadar menakutkan, malah turut menonjolkan isu budaya, unsur mistik dan tahayul yang bertentangan dengan pengetahuan moden sains, selain fenomena mistik. – Agensi

