Oleh Nurdiyanah R.
Jari-jemarinya yang halus bergerak lembut memastikan benang sentiasa bertaut, umpama kasih yang tak terlerai, dengan cangkuk antara jari seakan-akan mengemudi curahan kreativiti yang sudah terpateri di mindanya.
Namun gerakan itu perlu ditekuni, agar ia mampu mencipta sesuatu yang ‘magis’ bagi sebahagian orang yang menghargai hasil kraf tangan daripada bebenang sama ada menggabungkan satu atau lebih warna yang pastinya menarik perhatian.
Ketekunan itulah yang ada pada beliawanis ini, Hajah Syamimi binti Dato Seri Setia Haji Awang Yusof dalam usahanya mengetengahkan produk-produk seni krusye atau lebih dikenali sebagai crochet.
“Selimut berbentuk kartun Mermaid merupakan produk pertama yang saya hasilkan dalam seni crochet ini, untuk dihadiahkan kepada anak buah tersayang dan apabila saya memperlihatkannya ke dalam akaun media sosial saya, ramai rakan online mula tertarik dan itulah yang menjadi pendorong kepada saya untuk mula menceburi bidang keusahawanan seni crochet ini,” katanya yang mula menjual hasil seninya itu secara online melalui Crochenthusiast sejak pertengahan 2017 sehingga kini.
Menjiwai keindahan seni crochet
Berbicara mengenai seni crochet, Hajah Syamimi menjelaskan ia merupakan satu seni mencipta fabrik menggunakan benang dan sebatang jarum kait namun memerlukan kemahiran mengaitnya.
Terdapat dua elemen penting dalam seni ini iaitu benang kait dan cangkuk atau hook sebagai jarumnya. Manakala ukuran saiz cangkuk daripada kecil sehingga besar itu pula digunakan tergantung kepada pemilihan saiz ketebalan benang.
Selain itu, pita ukur dan stitch marker juga merupakan antara perkakas yang turut memainkan peranan dalam menghasilkan produk seni crochet ini.
“Dalam meniti seni ini, saya sentiasa menyelami ilmu dan memantapkan kemahiran melalui YouTube dan Instagram kira-kira dalam masa dua bulan, selain daripada pembacaan buku.
“Bukan mudah, namun apabila siap hasilnya, ia membuatkan saya semakin menjiwai dan menyukai seni ini, mewarna-warnikan lagi kehidupan saya. Apabila menjiwainya, segala-galanya semakin dipermudahkan dengan izin Allah SWT jua,” katanya yang semakin giat mencurahkan pelbagai rekaan kreatif produk kraf tangannya antaranya variasi topi khusus anak damit lelaki dan perempuan, beg, headband, kasut, alas meja dan sebagainya.
Daripada hobi menjadi terapi diri
Sebagai seorang suri rumah yang mempunyai empat orang anak lelaki, Hajah Syamimi mengakui seni crochet yang mulanya dilakukan sebagai hobi dan suka-suka sahaja, akhirnya menjadi terapi dirinya.
“Apa yang pasti, keistimewaan dalam seni kait sememangnya mampu mengajar seseorang erti satu kesabaran, ketekunan dan ketelitian. Selain itu, ia juga sebagai terapi yang dapat mencetuskan ketenangan jiwa,” ucapnya dengan senyuman manis.
Menurutnya lagi, beliau kebiasaannya mampu menyiapkan tempahan salah satu produknya seperti topi atau kopiah dalam anggaran masa kurang dua hari tertakluk tahap kerumitan rekaannya.
Dalam pada itu, keseimbangan masa antara tanggungjawab bersama keluarga dan perniagaan sentiasa dititikberatkan oleh Hajah Syamimi yang mana dalam masa menyelesaikan tempahan produk daripada para pelanggannya, beliau akan melakukannya pada waktu kelapangan ketika anak-anaknya sudah tidur atau bersantai.
Yakin rezeki daripada Allah SWT
Usahawan berjiwa seni halus ini juga percaya bahawa rezeki manusia sudah ditentukan Allah SWT meskipun persaingan dalam dunia perniagaan sengit selagi kita berusaha dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati, di samping menitik beratkan kualiti produk atau perkhidmatan dengan sebaik-baiknya, rezeki akan sentiasa menyebelahi.
Hajah Syamimi, 33, yang sepanjang meniti dunia perniagaan ini, mendapat sokongan dan dorongan padu daripada ahli keluarga, sahabat-handai dan para pelanggan, yang menurutnya pencetus dan perangsang semangat juang dalam semakin mengorak langkah lebih jauh untuk mencurahkan daya kreativiti dalam menghasilkan pelbagai rekaan produk seni crochet yang menarik.
“Apa pun perniagaan yang kita ceburi itu pasti akan membuahkan hasil pengorbanan daripada titik peluh selama ini. Oleh itu perlu diingat bahawa kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan kita perlu bersedia dengan semua kemungkinan yang bakal tiba. Sekali jatuh bukan bermakna kita akan jatuh selamanya. Jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat kita untuk bangkit dan terus bangkit.
“Ketulusan niat dan minat yang mendalam merupakan pokok pangkal dalam menceburi bidang perniagaan ini. Berusaha dan terus berdoa agar urusan kita dipermudahkanNya,” nasihat beliau dengan penuh keyakinan kepada masyarakat di negara ini khususnya para usahawan tempatan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.