BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-29 tahun ini telah diadakan di sekolah-sekolah seluruh negara, hari ini.
Majlis bertujuan untuk memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi serta menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada guru-guru yang telah mendidik untuk menjadikan seseorang berjaya dan menjadi kebanggaan orang tua di samping untuk mengeratkan hubungan antara guru dengan diri pelajar itu sendiri.
Ia merupakan sebahagian daripada kegiatan keagamaan sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Sekolah-sekolah agama di seluruh negara juga mengadakan majlis serupa.
Sambutan Hari Guru di Negara Brunei Darussalam disambut setiap 23 September bagi mengambil sukut Ulang Tahun Hari Keputeraan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Khairi Waddien sebagai mengenang jasa bakti Al-Marhum terhadap kemajuan pendidikan di Negara Brunei Darussalam.
Pada tahun ini, acara kemuncak majlis sambutan telah diadakan pada 23 September lalu di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas dengan tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Pendidikan Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar’.
