DOHA, 11 DIS – Neymar baru-baru ini berkata dia berasa luluh hati dengan penyingkiran Brazil daripada Piala Dunia setelah tewas dalam pusingan penentuan sepakan penalti dan mengaku kekalahannya kali ini tidak setanding mana-mana kekalahan yang pernah dialaminya.
Pemain berusia 30 tahun itu menjaringkan gol individu yang menyamai rekod jaringan Pele sebanyak 77 gol untuk Selecao pada aksi hari Jumaat yang berkesudahan 1-1 selepas tamat masa tambahan.
Malangnya, dia tidak berkesempatan untuk mengambil sepakan penalti setelah Croatia menang 4-2 dan mara ke peringkat separuh akhir.
Pasukan pilihan sebelum kejohanan, Brazil kini terpaksa menunggu sekurang-kurangnya empat tahun lagi untuk memburu trofi Piala Dunia keenam mereka – yang kali terakhir menang pada tahun 2002.
“Saya sudah hancur dari segi psikologi. Ini sememangnya kekalahan yang paling menyakitkan hati saya, yang melumpuhkan saya selama 10 minit selepas tamat perlawanan, yang mana selepas itu saya menangis teresak-esak,” kata Neymar dalam mesej Instagram.

“Malangnya, perkara ini akan menyakitkan saya untuk masa yang sangat panjang,” tambahnya.
Neymar berkata ini mungkin permainannya yang terakhir untuk Brazil, namun Pele menggesa dia untuk ‘teruskan memberi kami inspirasi’.
Pele, 82, berkata di Instagram, dia berharap bintang penyerang itu akan terus bermain sambil menambah bahawa pencapaian jaringan peribadi tidak dapat menandingi penghormatan mewakili Brazil.
“Awda tahu, seperti mana saya, bahawa tiada nombor (bilangan jaringan) yang lebih hebat berbanding kebanggaan mewakili negara,” tulis Pele.
“Saya berusia 82 tahun, dan sepanjang hidup saya, saya harap saya telah mendorong awda untuk sampai sejauh ini. Legasi awda belum berakhir. Teruskan memberi inspirasi kepada kami. Saya akan sentiasa meraikan setiap gol awda dengan penuh kegembiraan, seperti yang telah saya lakukan dalam setiap perlawanan yang saya lihat awda bermain.”
Pele, yang telah dimasukkan ke hospital pada awal bulan ini untuk menjalani rawatan kanser kolon yang dihidapinya, mengucapkan tahniah kepada Neymar kerana telah berjaya menyamakan rekod jaringan peribadinya.
“Saya percaya semakin hari, semakin berkembang legasi kita. Rekod saya telah dicipta 50 tahun lalu.
“Dan tiada siapa yang mampu menandinginya sehinggalah sekarang. Awda telah berjaya. Itu menambahkan lagi kehebatan pencapaian awda.” – AFP

