Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri antara ditangkap, curi dana pengebumian Mandela

    EAST LONDON, AFRIKA SELATAN, 12 FEB – Polis elit Afrika Selatan hari ini telah menahan lebih daripada belasan anggota parti kerajaan, termasuk seorang menteri wilayah, atas kesalahan mencuri dana yang diperuntukkan untuk pengebumian Nelson Mandela lapan tahun yang lalu.

    Seramai 15 suspek, termasuk menteri kesihatan sekarang untuk wilayah Eastern Cape, Sindiswa Gomba, yang ketika itu menjadi anggota majlis perbandaran, serta penggubal undang-undang dan pemilik perniagaan Kongres Nasional Afrika (ANC) telah diikat jamin setelah hadir di mahkamah hari ini.

    Mereka pada mulanya didakwa pada 2019 tetapi tuduhan tersebut ditarik sementara
    Setelah siasatan lanjut, Hawks, sebuah unit polis yang menangani rasuah dan jenayah khas lain, menangkap beberapa suspek hari ini.

    Mereka menghadapi tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah sekitar 10 juta rand (AS$680,000).

    Tuduhan tersebut timbul dari tuntutan palsu untuk pengangkutan orang yang berkabung dan kos tempat yang ditempah untuk upacara peringatan bagi presiden kulit hitam pertama negara itu di bandar pesisir selatan East London.

    Seorang hakim membebaskan mereka dengan jaminan 1,000 rand (AS$68) setiap seorang dan memerintahkan mereka kembali ke mahkamah pada 5 Mac, kata jurucakap polis Katlego Mogale dalam satu kenyataan.

    Penangkapan itu dilakukan sehari selepas ulang tahun ke-31 pembebasan Mandela dari 27 tahun dipenjarakan.

    Setelah meninggalkan penjara pada tahun 1990, beliau memimpin transformasi negara menjadi demokrasi berbilang kaum.

    Beliau meninggal dunia pada 5 Disember 2013 pada usia 95 tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda