Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri APEC sokong pelan hala tuju keselamatan makanan 2030

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong, hari ini, telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengenai Keselamatan Makanan ke-6 melalui persidangan video.

    Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Pertanian New Zealand, Tuan Yang Terutama Damien O’Connor.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), pada mesyuarat itu, menteri-menteri APEC yang bertanggungjawab untuk keselamatan makanan mengakui kesan berterusan pandemik COVID-19 terhadap kesejahteraan dan keselamatan semua di rantau APEC, terutamanya terhadap keselamatan dan rangkaian bekalan makanan.

    Sidang menteri juga menyokong penekanan terhadap tindak balas ke atas krisis kesihatan global dan kejutan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelumnya.

    Mesyuarat itu juga telah menyokong Pelan Hala Tuju Keselamatan Makanan ke Arah 2030, yang memberi tumpuan mengenai pendigitalan dan inovasi, produktiviti, keterangkuman dan kesinambungan selain mengenal pasti tindakan dan sasaran untuk mencapai makanan yang mencukupi, selamat, berkhasiat, mudah diakses dan berpatutan untuk semua serta mempromosikan keterangkuman perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), wanita, belia, masyarakat orang asli dan warga tua di sektor berkenaan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bersama menteri-menteri APEC lain semasa menghadiri mesyuarat yang diadakan secara maya, kelmarin. – Gambar serahan KSSUP

    Mesyuarat itu juga menyatakan bahawa pelan hala tuju tersebut selaras dengan dan akan menyumbang dalam mencapai Visi Putrajaya 2040 APEC.

    Dalam hal itu, tambah kenyataan, menteri-menteri APEC menyambut baik dan mendorong penglibatan pihak swasta dalam melaksanakan pelan hala tuju tersebut dan pentingnya penglibatan berterusan dengan organisasi antarabangsa dan serantau yang berkaitan, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), agensi khasnya dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

    Menteri-menteri APEC juga menyambut baik Sidang Kemuncak Sistem Makanan PBB yang akan diadakan dan usahanya untuk mencapai matlamat pembangunan lestari (SDG) selain menghargai peranan ABAC yang berterusan sebagai naib pengerusi Kerjasama Dasar untuk Keselamatan Makanan (PPFS) dan mendo-rong dialog peringkat tinggi berterusan antara orang awam dan sektor swasta.

    Menteri-menteri APEC juga mengambil maklum mengenai mesyuarat-mesyuarat PPFS, Kumpulan Kerja Kerjasama Teknikal Pertanian, Dialog Dasar Peringkat Tinggi mengenai Bioteknologi Pertanian dan Kumpulan Kerja Perikanan Laut.

    Turut hadir pada mesyuarat itu ialah setiausaha tetap, timbalan tetap setiausaha dan pegawai kanan dari KSSUP, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, dan Jabatan Perikanan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda