BEIJING, 18 FEB –Menteri Luar China, Wang Yi, kelmarin memberitahu rakan sejawatannya dari Kanada, Melanie Joly, bahawa kedua-dua negara mereka ‘bukan pesaing, apatah lagi musuh,’ kerana kebimbangan campur tangan asing di Ottawa telah menjadikan hubungan dua hala bertambah tegang.
Kedua-dua diplomat itu bertemu di luar Persidangan Keselamatan Munich (MSC) di Jerman, di mana Wang berucap pada perhimpunan 180 pemimpin dan ketua pertahanan, berikrar China akan menjadi ‘kuasa untuk kestabilan’ di dunia.
Hubungan antara Beijing dan Ottawa menjadi tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selepas penahanan seorang eksekutif kanan telekomunikasi China atas waran Amerika Syarikat di Vancouver pada Disember 2018 dan penahanan sebagai tindak balas Beijing terhadap dua warga Kanada atas tuduhan pengintipan telah mengakibatkan hubungan menjadi dingin.
Kanada tahun lepas telah melancarkan siasatan awam terhadap campur tangan asing terutamanya oleh China dalam institusi pilihan raya dan demokrasinya.
China telah dituduh cuba campur tangan dalam pilihan raya Kanada 2019 dan 2021, di mana Ottawa memecat seorang diplomat China pada Mei 2023 atas dakwaan mengugut.
Wang kelmarin memberitahu Joly ‘keadaan semasa sukar… bukan yang China mahu lihat”, menurut kenyataan Kementerian Luar China yang dikeluarkan hari ini.
“Kedua-dua pihak bukan pesaing, apatah lagi musuh, dan harus menjadi rakan kerjasama,” kata Wang.
Wang menggesa Kanada untuk ‘berhenti menghebohkan ‘teori ancaman China’ dan berhenti menyebarkan maklumat palsu tentang apa yang dipanggil campur tangan China dalam hal ehwal dalam negeri.’ – AFP
