Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri di JPM dan Pertahanan Kedua hadiri LIMA ‘23

    LANGKAWI, 23 MEI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) ke-16 yang diadakan pada 23 hingga 27 Mei di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) Langkawi, Malaysia.

    Turut serta ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pemangku Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Kapten Haji Mohamad Sarif Pudin bin Matserudin; Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim; serta pegawai-pegawai kanan ABDB.

    Di acara berasingan LIMA ’23, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua juga mengadakan perjumpaan dua hala bersama Menteri Pertahanan Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan. Semasa perjumpaan tersebut Yang Berhormat Pehin berpeluang untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan perlaksanaan LIMA ’23 ke-16 pada tahun ini.

    Kedua-dua pihak juga menekankan hubungan pertahanan yang kukuh antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia dan seterusnya berkongsi pelbagai isu strategik kepentingan bersama, termasuk situasi keselamatan serantau dan global.

    Pada tahun ini, KDB DARULEHSAN TLDB dan kapal-kapal tentera antarabangsa iaitu kapal-kapal dari Indonesia, Singapura, Vietnam, China, Amerika Syarikat (AS), India, Pakistan, Korea Selatan, Itali dan Jepun telah berpeluang untuk menyertai Fleet Review LIMA ’23 di Resort World Langkawi. Fleet Review LIMA ’23 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.

    Penyertaan TLDB dalam Fleet Review LIMA ‘23 ini menandakan hubungan pertahanan yang terjalin lama dan kukuh antara tentera laut Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB semasa menghadiri LIMA ’23.- Gambar serahan Kementerian Pertahanan
    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua semasa mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pertahanan Malaysia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda