ACCRA, 24 JULAI – Seorang menteri Ghana meletak jawatan pada hujung minggu lalu selepas siasatan tentang bagaimana pembantu rumahnya didakwa mencuri lebih daripada AS$1 juta wang tunai dari rumahnya tahun lalu.
Menteri Kesihatan Alam Sekitar, Cecilia Abena Dapaah menafikan sebarang kesalahan, tetapi kes itu mendapat kritikan daripada pihak pembangkang Ghana yang mempersoalkan mengapa seorang menteri mempunyai jumlah wang tunai yang begitu besar di rumahnya.
Dalam kenyataannya pada Sabtu, Dapaah menyerahkan peletakan jawatannya agar tidak menjadi ‘penghalang’ kepada kerajaan, tetapi menolak laporan mengenai jumlah wang tunai yang begitu besar di rumah keluarganya itu.
Menurut dokumen mahkamah dalam perbicaraan, kedua-dua pembantu rumah itu berdepan pertuduhan mencuri AS$1 juta, 300,000 euro dan berjuta-juta cedi tempatan Ghana dari bilik tidur tahun lalu serta pakaian.
“Walaupun saya boleh menyatakan dengan tegas angka-angka tersebut tidak mewakili dengan betul apa yang saya dan suami saya laporkan kepada polis, saya sangat menyedari tentang kepentingan cerita sebegitu berkaitan dengan seseorang dalam kedudukan saya,” kata menteri itu. – AFP
