Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berada di Kemboja bagi memenuhi jemputan untuk menghadiri Majlis Iftar Ramadan yang dihoskan oleh Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet, yang telah diadakan kelmarin di OCIC Center, Phnom Penh, Kemboja.
Majlis yang dihadiri oleh lebih 6,000 orang itu adalah anjuran komuniti Muslim Kemboja yang diselaraskan oleh Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri Kerajaan Diraja Kemboja.
Turut hadir ialah menteri-menteri dan ahli parlimen serta Dewan Senat dan juga tetamu-tetamu kenamaan luar negeri.
Majlis iftar bersama Perdana Menteri merupakan sudah menjadi acara tahunan sejak Perdana Menteri sebelum ini.
Selain itu, Yang Berhormat Pehin juga mengunjungi Masjid Al-A’la, Prek Pra, Phnom Penh, di Kemboja dan berkesempatan untuk menyantuni para jemaah masjid serta warga Islam ketika di sana. Kunjungan diselajurkan dengan penyerahan Mushaf Negara Brunei Darussalam untuk kemudahan para jemaah Masjid Al-A’la, di Prek Pra, Phnom Penh, Kemboja.



