Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Dengan matlamat untuk mengeratkan lagi hubungan United Kingdom dan Negara Brunei Darussalam serta meneroka peluang bagi kolaborasi masa depan, Menteri bagi Indo-Pasifik, Pejabat Pembangunan dan Komanwel Luar UK, Seema Malhotra akan mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam bermula hari ini hingga 8 Oktober.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, menyatakan lawatan itu menggariskan komitmen berkekalan UK kepada rantau Indo-Pasifik dan hubungan erat dengan Brunei, sebuah negara Komanwel dan rakan kongsi sekian lama.
Semasa lawatannya, Seema Malhorta akan mengadakan lawatan kepada pegawai-pegawai kanan Brunei untuk mengesahkan semula sokongan UK bagi keutamaan bersama termasuk pertumbuhan ekonomi inklusif, alam sekitar serta kerjasama serantau dan sekuriti.
Lawatan itu juga menyediakan peluang untuk meraikan hubungan rakyat-ke-rakyat yang kukuh di antara kedua-dua buah negara.
Seema Malhorta dipetik menyatakan perasaan teruja untuk mengadakan lawatan ke Brunei sebagai Menteri bagi Indo-Pasifik.
“UK dan Brunei berkongsi sejarah yang kaya dan perkongsian yang berpandangan ke hadapan yang berasaskan sikap saling hormat-menghormati dan hubungan rapat yang telah lama terjalin.”
“Lawatan ini adalah mengenai membina asas kukuh kita untuk menyokong cita-cita Brunei dan memperdalam kerjasama kita merentasi sektor daripada perdagangan kepada kemampanan dan inovasi,” ujar beliau.


