Saturday, November 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri Kesihatan Croatia dipecat atas kesalahan rasuah

    ZAGREB, 15 NOV – Perdana Menteri Croatia, Andrej Plenkovic hari ini telah memecat Menteri Kesihatan, Vili Beros selepas laporan media tempatan menyatakan bahawa beliau telah ditahan dan kediamannya diserbu dalam satu siasatan rasuah.

    “Perdana Menteri telah memecat Vili Beros daripada jawatannya sebagai menteri,” kata seorang jurucakap kerajaan dalam kenyataan ringkas.

    Pemecatan itu diumumkan tidak lama selepas akhbar harian, Jutarnji List melaporkan Beros telah ditahan oleh pegawai dari Biro Anti-Rasuah dan Jenayah Terancang Croatia.

    Penahanan tersebut berkaitan dengan siasatan terhadap skim membabitkan perolehan peralatan perubatan.

    Biro berkenaan turut mengesahkan bahawa ‘tangkapan dan tindakan pengumpulan bukti segera’ sedang dilancarkan di Zagreb dan bandar Skradin di selatan Croatia.

    Walau bagaimanapun, biro itu tidak menamakan menteri berkenaan secara khusus.

    Menurut kenyataan biro berkenaan, siasatan melibatkan ‘beberapa individu, termasuk seorang pegawai kerajaan berpangkat tinggi, yang disyaki terlibat dalam jenayah rasuah.’

    Laporan Jutarnji List turut mengatakan pendakwa raya sedang menyiasat beberapa doktor dan pentadbir hospital dalam negara Kesatuan Eropah yang mempunyai 3.8 juta penduduk itu.

    Sejak Plenkovic mengambil alih pentadbiran pada 2016, beberapa menteri daripada parti konservatif HDZ pimpinannya telah meletak jawatan di tengah-tengah dakwaan rasuah. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda