Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri Kesihatan Peru letak jawatan

    LIMA, 16 JUN – Menteri Kesihatan Peru telah meletakkan jawatannya semalam berikutan kritikan terhadap pengendalian krisis demam denggi yang menyebabkan sekurang-kurangnya 248 kematian dan kira-kira 147,000 orang dijangkiti, menurut kenyataan presiden.

    Presiden Peru, Dina Boluarte menerima peletakan jawatan Rosa Gutierrez dan berjanji untuk ‘memperkukuhkan segala usaha untuk menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti’ kepada rakyat, seperti yang dinyatakan dalam catatan di akaun Twitter Presiden Peru.

    Gutierrez mengumumkan pengundurannya semasa mesyuarat kongres di mana beliau disoal berkenaan pengurusan beliau terhadap penularan demam denggi.

    Beberapa pihak telah menggesa beliau meletak jawatan selepas beliau mengaitkan peningkatan kes denggi berpunca daripada suhu tinggi dan hujan pada suku pertama tahun ini.

    Peru mempunyai kadar kematian denggi kedua tertinggi di Amerika Latin selepas Brazil, menurut Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika, dengan kes membanjiri hospital di utara negara tahun ini.

    Denggi adalah penyakit endemik di kawasan tropika yang menyebabkan demam panas, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot dan, dalam kes yang paling serius, pendarahan yang boleh menyebabkan kematian.

    Ia pertama kali dikesan di Peru pada tahun 1984 dan sejak itu telah menjadi endemik.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pada bulan April bahawa denggi dan penyakit lain yang disebabkan oleh virus bawaan nyamuk sedang merebak dengan lebih meluas akibat perubahan iklim. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda