Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri Kesihatan terima kunjungan FABD

    Oleh Salawati haji yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, telah menerima kunjungan hormat daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Haji Feisal Eusoff, dan Timbalan Presiden, Haji Mahrub bin Haji Murni di Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Perjumpaan itu merupakan langkah FABD untuk mengeratkan hubungan dengan kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, dengan tujuan menjelaskan perancangan dan keperluan sokongan daripada persatuan tersebut dalam usaha membangun dan memajukan bola sepak di negara ini.

    Dalam perjumpaan tersebut, Presiden FABD membincangkan dan berharap untuk memperoleh sokongan dan bantuan daripada Kementerian Kesihatan, yang antaranya termasuk keperluan FABD untuk mendapatkan khidmat doktor dan kereta kecemasan yang akan ditempatkan di venue semasa perlawanan bola sepak peringkat kebangsaan.

    Menurut Haji Feisal, keperluan-keperluan itu adalah terma yang ditetapkan oleh FIFA bagi penganjuran perlawanan bola sepak peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

    FABD juga memerlukan kerjasama daripada Kementerian Kesihatan untuk memudahkan pemeriksaan kesihatan pemain-pemain yang akan menyertai kejohanan Liga Super Brunei (BSL), di samping persiapan pemain-pemain yang akan menyertai kejohanan bola sepak bawah 16 dan 17 tahun.

    Sementara itu, Kementerian Kesihatan secara asasnya akan memberikan komitmen dan sokongan mengikut perancangan teratur agar sumbangan dan bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

    Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah Haji Gharif, dan Pegawai Pemasaran FABD, Mohd Nazree bin Haji Abu Bakar.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa menerima kunjungan hormat Haji Feisal di Kementerian Kesihatan. – GAMBAR SERAHAN FABD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda