TUNIS, 21 JULAI – Perdana Menteri, Hichem Mechichi, semalam memecat Menteri Kesihatan ketika Tunisia bergelut dengan lonjakan kes COVID-19 yang semakin membebankan sistem kesihatan negara itu.
Pemecatan Faouzi Mehdi menyusul beberapa hari selepas jurucakap kementerian itu memaklumkan keadaan sangat buruk yang menyaksikan negara dengan kira-kira 12 juta penduduk ini mencatat lebih 17,000 korban, setakat ini. Pejabat Mechichi mengumumkan pemecatan itu dalam satu kenyataan ringkas tanpa memberi sebarang alasan untuk tindakan berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, Menteri Hal Ehwal Sosial, Mohamed Trabelsi, akan memangku jawatan terbabit.
Sebelum ini, Mehdi mengusahakan inisiatif pembukaan sementara pusat vaksinasi kepada semua warga Tunisia berusia 18 tahun ke atas, semalam dan hari ini, sebagai meraikan sambutan Aidiladha.
Bagaimanapun, langkah itu menyebabkan kesesakan teruk di sebahagian daripada 29 pusat vaksinasi dan bekalan vaksin habis dengan pantas. – AFP