Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri yang Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) APEC yang berlangsung di Detroit, Michigan, Amerika Syarikat (AS) pada 25 dan 26 Mei lalu.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang dikeluarkan di sini, mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Wakil Perdagangan AS, Puan Yang Terutama Katherine Tai dan dihadiri oleh menteri-menteri daripada kesemua ekonomi APEC, Pengarah Eksekutif APEC serta juga wakil-wakil daripada Majlis Penasihat Perniagaan APEC
(ABAC), Sekretariat ASEAN dan Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik.
Mesyuarat MRT APEC merupakan salah satu mesyuarat menteri-menteri yang dijadualkan di bawah tahun hos APEC AS pada 2023 dengan membawa tema keseluruhan ‘Menjana sebuah Masa Depan Mampan dan Berdaya Tahan Untuk Semua’, serta dengan keutamaan dasar bagi membina sebuah rantau APEC yang lebih inklusif, inovatif serta saling berhubungan.
Mesyuarat dimulakan dengan sesi di mana menteri-menteri APEC bertukar-tukar pandangan mengenai usaha untuk menyokong pengukuhan sistem perdagangan pelbagai hala, khusus yang berkaitan dengan keberkesanan Organisasi Perdagangan Sedunia (WTO) dalam bertindak kepada cabaran-cabaran ekonomi global.
Dialog itu berakhir dengan ulasan oleh Pengarah Agung WTO, PYT Dr Ngozi Okonjo-Iweala yang mengongsi mengenai perkembangan dalam usaha ke arah Persidangan Menteri-menteri WTO ke-13 (MC13) pada 2024 serta pendapatnya mengenai sumbangan APEC.
Dalam agenda seterusnya bagi Mesyuarat MRT, menteri-menteri APEC telah menyemak tindakan-tindakan kolektif untuk memupuk perdagangan inklusif dan mampan di rantau berkenaan, pada masa yang sama, menghargai usaha individu ekonomi yang memacu pencapaian ke arah satu wawasan yang sama.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dalam intervensinya semasa dua sesi antara lain menekankan pentingnya untuk mengekalkan momentum baik daripada WTO MC ke-12 pada 2022 dalam menghasilkan dapatan konkrit dan saling bermanfaat di MC13 yang berkaitan kepada Perjanjian WTO bagi Subsidi Perikanan, e-Dagang, sekuriti makanan serta reformasi ATO.
Beliau juga mengalu-alukan inisiatif APEC untuk menjana lebih banyak peluang perdagangan, membolehkan warga dan perniagaan untuk merebut peluang pertumbuhan dan menyokong agenda kemampanan.
Yang Berhormat Dato turut menghargai pendekatan inovatif APEC dalam mengekalkan pembangunan hijau serta mengongsi agenda dasar perdagangan Brunei Darussalam yang bermatlamat untuk mendalami hubungan ekonominya serta usaha domestik bagi memperkasakan penduduknya menerusi peruntukan pendidikan berkualiti, akses kepada latihan kemahiran dan program inovasi serta pembelajaran sepanjang hayat.
Kenyataan Pengerusi bagi Mesyuarat MRT APEC 2023 boleh didapatkan di laman sesawang, www.apec.org.