LONDON, 23 MAC – Menteri Kewangan United Kingdom (UK), Rachel Reeves, mengumumkan rancangan untuk mengurangkan kos operasi kerajaan sebanyak 15 peratus dalam tempoh empat tahun bagi menangani tekanan kewangan negara.
Pengumuman itu dibuat menjelang pembentangan Kenyataan Musim Bunga pada Rabu ini, di mana dia dijangka memperincikan pemotongan perbelanjaan bernilai berbilion pound di pelbagai jabatan kerajaan.
“Kami komited untuk mengurangkan kos operasi kerajaan sebanyak 15 peratus menjelang akhir penggal parlimen ini,” katanya kepada BBC.
Menurut laporan BBC, sasaran tersebut dijangka menjimatkan kerajaan sebanyak AS$2.8 bilion setahun, melibatkan lebih 500,000 kakitangan perkhidmatan awam di UK.
Reeves menyatakan bahawa setiap jabatan akan menentukan jumlah kakitangan yang akan diberhentikan, namun menegaskan bahawa pemotongan boleh membabitkan sehingga 10,000 pekerja.
“Saya lebih suka melihat lebih ramai orang bekerja di barisan hadapan seperti di sekolah, hospital dan pasukan polis, berbanding dalam pekerjaan pentadbiran,” beritahunya kepada Sky News. – AFP
